KUALA LUMPUR – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melalui ‘Operasi Dragon’ sehingga kini berjaya menahan lapan penumpang kapal terbang yang disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan hidupan liar.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, kesemua mereka itu telah didakwa di mahkamah atas kesalahan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Melalui operasi itu juga, Perhilitan telah mengeluarkan Notis Merah kepada Interpol terhadap seorang lagi yang disyaki terlibat dengan pemerdagangan kura-kura dari India ke Malaysia.

Kenyataan itu berkata, sindiket yang berpangkalan di India itu terlibat dengan rangkaian penyeludupan hidupan liar melalui bagasi penumpang kapal terbang di mana mereka yang terbabit akan membawa lebih daripada satu beg yang mengandungi hidupan liar bagi menyeludupnya.

Sindiket itu menggunakan pelbagai jenis syarikat penerbangan dari India ke Malaysia dan memindahkan haiwan terbabit ke negara lain dengan menggunakan pelbagai jenis pengangkutan.

‘Operasi Dragon’ merupakan satu pasukan penguatkuasaan khas bagi membongkar kegiatan penyeludupan penyu air tawar dan kura-kura itu merupakan satu kerjasama peringkat antarabangsa antara Suruhanjaya Keadilan Hidupan Liar Malaysia, Perhilitan, Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar India dan juga Interpol.

Pasukan kerjasama khas itu telah menjalankan aktiviti perisikan, penganalisaan maklumat, penyiasatan dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan.?

KATS, melalui Perhilitan juga komited dalam memerangi rangkaian penyeludupan hidupan liar, bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia dan Kastam Diraja Malaysia, Interpol dan juga dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan dari dalam dan luar negara. – MalaysiaGazette