Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan melaksanakan Ops Sumber Air iaitu operasi pemantauan 24 jam di lembangan sungai utama bermula pada 17 April sehingga 31 Mei ini bagi mengekang insiden pencemaran dan henti tugas loji pembersihan air (LPA) utama di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Operasi tersebut dijalankan untuk memastikan insiden pencemaran tidak berlaku bagi mengelakkan gangguan bekalan air kepada pengguna khususnya di dalam waktu PKP ini dan musim perayaan.

Operasi pemantauan berjadual ini dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor, Pengurusan Air Selangor, Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. , Polis Diraja Malaysia, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor , Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Pejabat Daerah & Tanah , pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi lain yang berkaitan bagi memastikan keselamatan di lembangan-lembangan sungai utama negeri terjamin.

LUAS berkata, operasi ini akan dijalankan secara khusus di kawasan-kawasan strategik di Lembangan Sg. Selangor dan Lembangan Sungai Langat termasuk Sungai Semenyih.

Operasi pemantauan yang dijalankan ini akan mengambil kira langkah-langkah keselamatan dan kesihatan kakitangan bertugas sepanjang tempoh PKP ini.

Komitmen dan kerjasama semua pihak amat diharapkan dalam memastikan kelangsungan sumber air di Negeri Selangor terutamanya di waktu negara sedang berusaha untuk menangani wabak Covid-19 ini, katanya. – MalaysiaGazette