KUALA LUMPUR – Rezeki berpihak kepada penyanyi lagu ketuhanan dari Indonesia, Opick apabila diberi kepercayaan untuk menjaga sehelai rambut milik Nabi Muhammad SAW.

Menurut portal KapanLagi, pemberian itu merupakan satu penghargaan dan rahmat buat Opick sempena bulan Ramadan ini.

Amanah tersebut telah diberikan oleh seorang agamawan dari Turki yang juga memiliki sebuah muzium menyimpan barang-barang peribadi milik Rasulullah.

“Saya mimpi bulan dan bintang jatuh di halaman. Kemudian bintang itu diletakkan di tangan saya. Ada seseorang beritahu saya bahawa Imam Mahdi dan Nabi Muhammad akan datang.

“Ini adalah satu berkat untuk kita semua. Saya membawa sehelai rambut milik Nabi Muhammad iaitu seorang insan yang dicintai ramai umat di seluruh dunia.

“Syarat untuk menjaganya haruslah mengaji selama 24 jam dan jangan diabaikan. Di Turki ada individu yang menghafal al- Quran diamanahkan menjaga tempat tersebut,” cerita Opick seperti yang dipetik dari laman KapanLagi.

Menurut Opick, dia bakal membina sebuah bangunan khas bagi menempatkan rambut Rasulullah itu.

Buat sementara waktu, ia disimpan di kamar peribadinya di rumah dan kerana itu Opick sanggup tidur di tempat lain.

Rambut ini akan disimpan di rumah saya sebelum dibangunkan sebuah tempat besar sebagai pusat Islam.

“Sementara di rumah saya, saya tidur di bilik ibu saya. Pada malam hari saya sentiasa berbisik ‘Ya Rasullullah, sudah dekat aku mencium wajahmu’,” cerita Opick. – MalaysiaGazette