Bank Negara
Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Pada kadar semasa OPR, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong kegiatan ekonomi, menurut Bank Pusat itu.

Tambahnya, MPC akan terus menilai imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan dalam negeri dan inflasi untuk memastikan pendirian dasar monetari terus kondusif terhadap pertumbuhan yang berterusan dalam keadaan harga yang stabil.

Ekonomi dunia terus berkembang dengan sederhana dengan pasaran pekerja di negara maju kekal kukuh, manakala permintaan dalam negeri di negara Asia terus menyokong pertumbuhan.

Walau bagaimanapun, penunjuk utama menjuruskan ke arah prospek ekonomi global yang tidak begitu menggalakkan dalam tempoh terdekat.

Menurut BNM, risiko ketara yang boleh menjejaskan pertumbuhan global juga masih wujud berpunca terutamanya daripada ketegangan perdagangan yang berlarutan.

Meskipun prospek dasar monetari yang kian longgar di negara ekonomi utama telah mula mengurangkan sedikit keadaan kewangan global yang ketat, ketidakpastian dasar yang semakin memuncak boleh membawa kepada volatiliti pasaran kewangan yang keterlaluan.

Manakala, ekonomi Malaysia meningkat pada kadar yang dijangkakan pada suku pertama 2019, disokong oleh faktor dalam negeri dan luaran.
Pada masa akan datang, pertumbuhan ekonomi akan disokong oleh permintaan dalam negeri, meskipun prestasi sektor luaran dijangka terjejas akibat pertumbuhan global yang semakin perlahan dan ketegangan perdagangan.

Perbelanjaan isi rumah dan pelaburan modal akan terus dipacu oleh keadaan pasaran pekerja yang stabil dan pengembangan kapasiti dalam sektor utama seperti perkilangan dan perkhidmatan.

Unjuran asas pertumbuhan kekal antara 4.3 peratus hingga 4.8 peratus, namun begitu, unjuran ini adalah tertakluk pada risiko pertumbuhan menjadi rendah disebabkan oleh ketidakpastian yang berterusan dalam persekitaran global dan dalam negeri, ketegangan perdagangan yang semakin meruncing serta kelemahan yang berpanjangan dalam sektor berkaitan komoditi.

Meskipun inflasi keseluruhan kekal rendah dalam tempoh kebelakangan ini, kadarnya dijangka meningkat dalam bulan-bulan yang akan datang apabila luputnya impak daripada perubahan dasar cukai penggunaan.

Secara keseluruhannya, pada tahun 2019, purata inflasi pada amnya dijangka stabil berbanding dengan tahun 2018.

Trajektori inflasi keseluruhan akan bergantung pada harga minyak sedunia dan langkah-langkah dasar seperti masa pemansuhan harga siling bagi harga runcit bahan api domestik.

Katanya, inflasi asas dijangka kekal stabil kerana disokong oleh kegiatan ekonomi yang terus berkembang dan ketiadaan tekanan permintaan yang besar. – MalaysiaGazette