Pengerusi Otai Reformis 1998, Dr. Idris Ahmad bercakap pada sidang media khas mendesak Datuk Seri Azmin Ali direhatkan di Restoran Amjal, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 14 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Otai Reformasi menggesa Putrajaya merehatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada tugasnya sebagai menteri susulan kontroversi klip video seks membabitkan dirinya.

Pengerusinya, Idris Ahmad berkata, desakan itu dibuat bagi membolehkan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan selepas aduan mengenainya dibuat.

“Otai menyarankan Azmin diberi rehat daripada tugas rasmi. Ini bertujuan menjaga nama baik kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya,” katanya dalam sidang media di di sini hari ini.

Mengulas lanjut Idris berkata, pihaknya turut berasa curiga dengan “campur tangan” Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad apabila beliau dilihat cuba bertindak mempertahankan Azmin.

“Mahathir mengatakan video tersebut “dipalsukan”dengan teknologi canggih sedangkan kita meragui kepakaran beliau dalam teknologi video ini, manakala pelaku rakaman video itu telah membuat akuan pendedahan bahawa mereka berdua terlibat dalam aksi seks tersebut.

“Tindakan Mahathir amat berbeza pada 1998 apabila Anwar Ibrahim dipecat dan dihukum sebelum siasatan polis dibuat dan mahkamah menjatuhkan hukuman, tetapi pada tahun 2019 kenyataan Mahathir amat berbeza dan berlainan sungguh

“Otai berharap Mahathir tidak bersikap ‘double standard’ dan berat sebelah dalam mengadili isu video tersebut,”, tegasnya.

Pada Rabu lalu, Muhammad Haziq Aziz yang dikaitkan dengan skandal seks bersama Azmin menggemparkan negara apabila beliau memuat naik video berdurasi 30 saat di Facebook mengaku dirinya terbabit dalam klip video seks sejenis yang tersebar di WhatsApp sejak kelmarin.

Beliau menamakan Ahli Parlimen Gombak sebagai pasangannya dalam klip video itu serta mendakwa kelakuan seks itu dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di Hotel Four Points di Sandakan, semasa kempen pilihan raya kecil Parlimen itu Mei lalu.

Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya komplot jahat untuk mencemarkan reputasi, keperibadiannya dan memusnahkan kerjaya politiknya serta akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Haziq.

Semalam, Kementerian Industri Utama menggantung tugas Haziq serta-merta dan memberi tempoh tiga hari kepadanya untuk menjawab surat tunjuk sebab.

Tindakan itu dibuat beberapa jam selepas setiausaha sulit Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Akin itu mempersoalkan kejujuran kerajaan PH ekoran pemimpin kerajaan menuduhnya mempunyai agenda politik dengan pengakuannya itu

Katanya, hubungan seks yang didakwa dilakukannya dengan Azmin bukan kejadian pertama dan menuduh setiausaha politik Azmin memaksanya menarik balik tuduhan ke atas Azmin. – MalaysiaGazette