Herman (depan) dan Taza (belakang) selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 5.49 kilogram di Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Padah mengedar methamphetamine seberat 5.49 kilogram dua tahun lalu, dua sahabat dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Keputusan tersebut diterima kedua-dua tertuduh, Taza Tarji, 23, bekerja sebagai nelayan dan Herman, 34, seorang pekerja kontrak yang merupakan warga Indonesia dengan linangan air mata disamping ahli keluarga mereka.

Herman turut bertindak cuba menendang jurugambar manakala Taza pula cuba menutup mukanya daripada dirakam.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman itu terhadap mereka selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan gagal menyangkal andaian pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya itu di atas sampan fiber berwarna merah biru di kira-kira 1.1 batu nautika dari perairan Tanjung Piai, Pontian pada 4.15 petang, 27 September 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Iffa Zarilla Abd. Rahman yang mengemukakan enam saksi sepanjang prosiding perbicaraan yang bermula 23 Julai 2017 manakala Taza diwakili peguam Lydiana Mansor dan Herman diwakili Azrul Sani dengan empat saksi pembelaan dipanggil pada prosiding bela diri. – MalaysiaGazette.