Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali (tengah) bersama Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusoff (kiri) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Darul Fuqaha, Bangi, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 16 MEI 2022.

BANGI – Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menegaskan dirinya akan mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) kelak.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dikenali Pak Wan itu turut berkata, pendirian itu dizahirkan beliau sama ada beliau dicalonkan semula atau tidak.

“Sebagai individu saya akan pertahan Parlimen Alor Gajah samada akan diwatikahkan oleh ketua parti kita tidak tahu.

“Mereka ada strategi tersendiri untuk memenangi parti bila ada pertandingan sepertimana kita lihat PRN negeri,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui dalam majis rumah terbuka anjuran Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali di Bangi hari ini.

Mohd. Redzuan memenangi kerusi Parlimen Alor Gajah pada PRU14 lalu atas tiket Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 6,980 undi.

Ditanya mengenai ‘kehilangan’ beliau dalam arena politik sebelum ini, beliau berkata dirinya kini banyak bergerak peringkat akar umbi dengan menemui pengundi.

“Saya tidak menyepi dalam arena politik sepertimana mana orang yang mahu melibatkan diri dalam kepimpinan negara kita lebih kepada diam-diam mendekati akar umbi.

“Kita tahu keadaan di akar umbi sekarang dan negara ini perlu dibawakan terus kepada satu landasan yang lebih baik untuk memastikan generasi akan datang dapat menikmati kesejahteraan negara kita,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Perikatan Nasional (PN) katanya, perlu segera mencari rakan strategik sebelum PRU-15.

Ini kerana padanya tiada satu pun parti yang akan membentuk kerajaan dengan majoriti mudah memandang kepada perpecahan parti-parti politik.

“Sekarang ini strategi PN belum jelas dan kita sedang cari rakan dalam PRU-15 tak ada satu parti yang boleh bentuk kerajaan, kena ada gabungan samada yang disebut PH khemah besar ataupun BN nak gabung dengan orang lain itu kita tidak tahu.

“Satu gagasan kena dibentuk kalau kita nak tadbir urus negara dengan betul. Bayangkan kalau ada pre electrol satu-satu kerajaan pun tidak boleh dibentuk,” katanya menjawab mengenai kenyataan James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania.

James pada 10 Mei lalu berkata, PRU-15 mungkin menjadi benteng terakhir PN kerana berpandangan gabungan itu kini sudah lemah. – MalaysiaGazette