Menteri Pengangkutan, Anthony Loke diiringi Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Raja Azmi (dua kiri) menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Program "Happy Guest, Caring Host" Service Citizen dan Family Friendly" di KLIA2, Sepang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 13 DISEMBER 2018

SEPANG – Pakar teknikal dari Malaysia dan Singapura akan berunding mengenai tatacara penerbangan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) untuk Lapangan Terbang Seletar di Singapura.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook enggan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan kerana mahu ia diselesaikan di meja rundingan.

Menurut beliau, penjelasan dan pendirian Malaysia telah dinyatakan dalam satu kenyataan sebelum in

“Cukup-cukuplah memperkatakan mengenai ILS. Biarkan kedua belah pihak duduk dan berunding, mereka akan bertemu pada pertengahan bulan Januari.

“Saya akan beri ruang kepada pakar teknikal kedua-dua belah pihak ini untuk menyusunnya,” katanya pada sidang media di sini selepas melancarkan Perkhidmatan Kebudayaan dan Infrastruktur Mesra Keluarga dan Warga Emas di Tingkat 3A, Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Semalam, Singapura telah memaklumkan negara itu perlu melaksanakan tatacara penerbangan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) bagi laluan pendaratan sebelah utara dan selatan ke Lapangan Terbang Seletar.

Kementerian Pengangkutan negara itu dalam kenyataannya berkata, Singapura telah memaklumkannya pada mesyuarat pada 29 Nov 2018 antara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia.

Kementerian Pengangkutan sebelum ini menegaskan, ketegangan antara Malaysia dan Singapura boleh dielakkan dengan melaksanakan tatacara ILS yang baharu bagi Landasan 03 di sebelah selatan Lapangan Terbang Seletar, dan bukan Landasan Runaway 21 di sebelah utara yang mendapat bantahan.

Loke sebelum ini mencadangkan Singapura menarik balik rancangan melaksanakan ILS atau mengubah laluan penerbangan ke Lapangan Terbang Seletar di republik itu.

Ini kerana laluan penerbangan untuk sistem itu akan memberi impak besar kepada pembangunan di Pasir Gudang susulan sekatan ketinggian struktur di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, Malaysia berhasrat mengambil balik ruang udara di selatan Johor secara berperingkat, bermula tahun hadapan. – MalaysiaGazette