Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bimbang dengan malapetaka menimpa negara ini sekiranya anggota keselamatan dipaksa untuk mengundi parti tertentu dalam proses pengundian awal hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, ia sesuatu yang tidak wajar seandainya  benar mesej yang ditularkan dalam media sosial hari ini.

“Malapetaka untuk negara jika benar mesej yang ditularkan dalam media sosial hari ini kononnya terdapat anggota keselamatan beruniform dalam negara kita, di Terengganu telah tanpa kerelaan mereka dipaksa untuk mengundi parti tertentu dalam proses pengundian awal pada hari ini dengan ugutan kerja dan imbuhan,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Beliau mengulas dakwaan apabila terdapat dakwaan anggota polis di sebuah ibu pejabat daerah menerima RM200 seorang daripada calon parti politik.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri yang mempertahan kerusi DUN Ru Rendang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini berharap berita seperti itu tidak benar.

“Saya berharap berita seperti ini tidak betul kerana aktiviti sebegini adalah layak dicemuh seluruh warga manusia dan merupakan satu kemunduran kepada sistem demokrasi negara,” katanya.

Belia menambah, manusia mungkin boleh dipaksa, ditahan, diugut tetapi jangan ingat ia  boleh dilupakan begitu sahaja kepada yang terbabit atau menjadi pelaksananya.

Hari ini adalah pengundian awal yang melibatkan 49,660 anggota tentera dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing di enam negeri yang terlibat PRN.

Sebanyak 260 pusat mengundi awal yang mengandungi 377 tempat mengundi atau saluran awal sempena PRN di enam negeri dibuka serentak bermula 8 pagi tadi. – MalaysiaGazette