Syed Ibrahim Syed Noh.

KUALA LUMPUR – Seramai 38 Ahli Parlimen dan badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menghantar nota bantahan kepada kedutaan terdiri daripada Amerika Syarikat, Britain dan Kesatuan Eropah (EU) bagi menyokong gencatan senjata di Gaza.

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh bersama Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyerahkan nota bantahan itu kepada Konsular Politik kedutaan Amerika Syarikat (AS), Christoher Carver pada jam 3 petang.

Syed Ibrahim berkata, dalam nota bantahan itu pihaknya menuntut agar kerajaan AS menyokong gencatan senjata dilaksanakan dengan segera dan berkekalan selain menghentikan semua bantuan ketenteraan secara langsung dan tidak langsung kepada Israel.

“Kami juga mendesak kerajaan Amerika Syarikat bertindak dengan bertanggungjawab dan adil dalam menangani konflik berterusan antara Israel dan Palestin, khususnya menuntut
pertanggungjawaban Israel terhadap jenayah mereka dan tidak berpaling daripada kekejaman yang berterusan ini.

“Arahan pihak Israel kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengeluarkan bekalan WHO dari gudang perubatan di selatan Gaza dalam tempoh 24 jam ketika rejim Israel meneruskan operasi serangan darat yang kejam dan ia melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya selepas menghantar nota bantahan itu, hari ini.

Menurut Syed Ibrahim, selain itu pihaknya mahu akses bantuan kemanusiaan tanpa sekatan, pembebasan tawanan termasuk kira-kira 1,000 kanak-kanak yang kini ditahan di penjara Israel dilakukan.

Sementara itu, beliau mengalu-alukan pendirian majoriti pengundi AS, termasuk 76 peratus pengundi Demokrat, yang menyokong gencatan senjata secara berkekalan seperti yang dirumuskan oleh kumpulan pemikir Data For Progress.

Syed Ibrahim berkata, pihaknya turut menghantar nota bantahan sama kepada Suruhanjaya Tinggi British dan EU.

“Kami juga mendesak kerajaan British bertindak dengan tanggungjawab dan keadilan yang total dalam menangani konflik berterusan antara Israel dan Palestin, khususnya menuntut pertanggungjawaban pihak Israel terhadap jenayah mereka, dan tidak menutup mata terhadap kekejaman yang berterusan ini.

Katanya, kegagalan kerajaan British untuk  menentang pelaku jenayah tertentu yang terus diberi imuniti di bawah alasan mempertahankan diri adalah ketidakadilan, sekali gus mencemarkan kepercayaan kepada sistem hubungan multilateral dan prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa.

Bagi EU, pihaknya membantah pengisytiharan unilateral oleh Presiden von der Leyen dengan “Eropah berdiri bersama Israel” sejurus setelah serangan pada 7 Oktober lalu.

“Kami juga membantah keputusan Presiden von der Leyen yang terburu-buru menangguhkan pemberian dana ke Palestin selepas 7 Oktober 2023, hanya untuk menggerakkannya semula setelah menghadapi tentangan hebat dari orang awam.

“Pada masa yang sama nota bantahan kami juga menuntut agar negara-negara EU segera menghentikan semua pemindahan peralatan ketenteraan, bantuan, dan amunisi ke Israel,” ujarnya.-MalaysiaGazette