Bapa panda gergasi, Xing Xing di Zoo Negara, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Jumlah pelawat ke Zoo Negara dilaporkan telah berkurangan sebanyak 20 peratus kerana ramai yang menyangka taman hidupan liar tersebut tidak lagi dihuni beruang panda gergasi.

“Ramai orang menyangka beruang panda gergasi telah dihantar pulang ke China dan pelawat yang datang juga terkejut kerana mendapati masih ada panda di Zoo Negara.

“Hakikatnya, hanya anak panda yang dihantar pulang ke China dan salah faham yang berlaku menyebabkan jumlah pelawat berkurangan 20 peratus,” kata Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly Ahmat Lana kepada China Press.

Sebelum ini, dua ekor anak panda iaitu Yi Yi dan Sheng Yi dihantar pulang ke China pada 29 Ogos ini sebagai mematuhi Perjanjian Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda antara Malaysia dan China.

Rosly berkata, Zoo Negara juga berharap pasangan Xing Xing dan Liang Liang yang masih berada di Malaysia dapat melahirkan anak keempat, tetapi keadaan itu tidak boleh didesak dan perlu melihat kesediaan dua haiwan itu.

Katanya, kelahiran anak pertama mereka di Zoo Negara merupakan satu kejutan kerana pihak zoo langsung tidak bersedia pada masa itu.

“Walau bagaimanapun, kami berjaya memastikan keselamatan anak panda ini dan ia juga berjaya menjadi tarikan Zoo Negara,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada akan memperkenalkan”haiwan bintang” lain selain panda gergasi, Rosly berkata, Zoo Negara telah membawa masuk lima ekor arnab gergasi yang merupakan spesies terbesar di dunia pada Oktober.

“Kami belum mula mempromosikan haiwan ini dan masih dalam perancangan untuk berbuat demikian.

“Kamu selalu mengenal pasti lebih banyak ‘haiwan bintang’ untuk menarik kunjungan. Selain itu, kami juga berusaha untuk mengindahkan zoo,” katanya.

Mengulas tentang banjir yang berlaku, Rosly berkata, Zoo Negara akan menghadapi keadaan itu sekali setahun.

“Walaupun kami bimbang banjir berlaku, tetapi kami juga mempunyai pengalaman untuk menghadapinya.

“Semua berada dalam keadaan terkawal. Jika berlaku banjir lagi, kami akan memindahkan haiwan ke tempat yang selamat dan mereka tidak akan berdepan bahaya,” katanya.

Zoo Negara sebelum ini dilaporkan menanggung kerugian lebih RM300,000 ekoran kejadian banjir kilat yang melanda Lembah Klang baru-baru ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.