HANOI – Satu lagi kes kebakaran dan kali ini seramai 13 mangsa terbunuh manakala berpuluh-puluh lagi cedera dalam satu insiden di sebuah pangsapuri di bandar Ho Chi Minh, selatan Vietnam awal pagi tadi.

Agensi berita tempatan melaporkan, kebakaran yang berlaku di Carina Plaza itu berkemungkinan besar berlaku akibat litar pintas namun ia masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Kebakaran itu dikatakan berlaku dari tingkat bawah dan kemudian dengan pantas merebak ke tingkat atas sekelip mata sejak tengah malam tadi.

Menurut jurucakap bomba, rata-rata mangsa maut dan berada dalam keadaan kritikal kerana lemas terhidu bau asap tebal ketika cubaan menyelamatkan diri.

“Kita masih lagi menyiasat punca utama insiden ini dan akan maklumkan kepada pihak media secepat mungkin. Buat masa ini jangan buat apa-apa spekulasi lagi,” katanya.

Portal berita VietnamPlus berkata, kebakaran bermula di tempat letak kereta bawah tanah yang bersambung dengan blok kompleks pangsapuri itu.

Api dapat dipadamkan menjelangnya subuh tetapi asap tebal masih berada di kawasan sekitar untuk beberapa jam selepas itu.

Kompleks pangsapuri itu termasuk beberapa bangunan tinggi yang memiliki sehingga 22 tingkat dipercayai telah dibina enam tahun lalu.

Kompleks pangsapuri elit itu juga dilengkapi kolam renang, gelanggang tenis, tadika dan kedai.

Insiden itu dianggap antara yang paling teruk pernah berlaku di Vietnam sejak tahun 2016 selepas sebuah karaoke terbakar di Hanoi menyebabkan 13 mangsa maut dan kebanyakannya kakitangan awam yang maut di dalam bilik kalis bunyi. – Malaysia Gazette