Keadaan beberapa kediaman yang dilanda banjir semasa tinjauan di Kampung Padang Kubu, Kemaman Terengganu hari ini.

KUALA LUMPUR – Hujan lebat berterusan di negeri-negeri di Pantai Timur sejak dua hari lepas menyebabkan beberapa daerah di Terengganu, Pahang dan Kelantan kembali dilanda banjir.

Di TERENGGANU, lapan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka sejak pagi tadi iaitu tujuh di Kemaman dan satu di Setiu membabitkan 383 orang daripada 114 keluarga.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan 191 individu daripada 55 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Teladas, diikuti Balai Raya Padang Kubu (79 orang, 26 keluarga), Dewan Sivik Air Putih (50 orang, 12 keluarga), Masjid Kampung Dadong (tujuh orang, dua keluarga), Sekolah Kebangsaan Lembah Jabor (tujuh orang, dua keluarga), SK Air Putih (tujuh orang, dua keluarga) dan Balairaya Padang Kemunting (empat sekeluarga).

“Di Setiu pula, 38 individu daripada 14 keluarga ditempatkan di Balairaya Kampung Hulu Seladang,” menurut kenyataan itu.

Di KELANTAN, tiga PPS dibuka iaitu dua di Tanah Merah dan satu di Kuala Krai melibatkan 52 orang daripada 17 keluarga setakat 4 petang tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) memaklumkan dua PPS tersebut iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Lawang dan SK Klewek di Tanah Merah serta Masjid Lama Keroh di Kuala Krai.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiga sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lanas di Air Lanas merekodkan bacaan 29.75 meter (m), Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai (37.54 m) dan Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (25.19 m).

Di KUANTAN, kawasan di Kampung Bantal, Jerantut yang bersebelahan Sungai Tembeling dinaiki air sejak tengah malam tadi namun tiada PPS dibuka setakat ini.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bantal Zamzarina Manap berkata ia melibatkan beberapa kedai runcit, kedai makan dan chalet.

Berdasarkan JPS melalui laman web rasminya memaklumkan paras air di dua sungai di Pahang sudah melebih paras waspada iaitu Sungai Tembeling di Jerantut dan Sungai Keratong di Rompin.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan sistem cuaca tekanan rendah dijangka melanda sempadan negeri Pahang dan Terengganu hari ini, dan seterusnya bergerak ke barat laut merentasi Semenanjung yang boleh menyebabkan hujan lebat berterusan dan angin kencang.

Hujan lebat dan angin kencang berkenaan, dijangka berlaku di kebanyakan kawasan di Semenanjung sehingga 26 Feb, namun ramalan terkini menunjukkan kemungkinan sistem ini untuk meningkat ke tahap Lekukan Tropika adalah rendah.- BERNAMA