Wan Muhammad Azri Wan Deris

KUALA LUMPUR – Blogger kontroversi, Papagomo menunaikan nazar membotakkan kepalanya selepas membayar gantirugi hampir RM1 juta kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Sebelum itu, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri membayar gantirugi itu selepas kalah dalam kes saman fitnah mengaitkan Anwar dalam gambar dan video dalam blognya tiga tahun lepas.

Peguamnya, Irna Shahana Samsudin yang mewakili Papagomo memaklumkan, sejumlah RM950,000 dijelaskan dalam bentuk bank deraf manakala RM1,260 dibayar secara tunai dengan not RM1 dan syiling 30 sen.

Wang itu diserahkan kepada Anwar melalui peguam Latheefa Koya pada prosiding pendengaran petisyen kebankrapan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Husna Dzulkifli hari ini.

“Selepas menyelesaikan bayaran gantirugi itu, mahkamah menetapkan esok untuk pengurusan kes bagi pihak Anwar menarik balik petisyen kebankrapan terhadap Wan Muhammad Azri,” kata peguam itu kepada media.

Prosiding di dalam kamar itu dihadiri Wan Muhammad Azri dan peguam Latheefa Koya serta J. Leela mewakili Anwar.

Anwar memfailkan petisyen kebankrapan terhadap Wan Muhammad Azri, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarang KL Pos Media Production Sdn Bhd berikutan kegagalannya membayar ganti rugi tersebut kepada bekas ketua pembangkang itu.

Sementara itu, Papagomo berkata, beliau berjaya mengumpulkan bayaran gantirugi tersebut selepas mendapat sumbangan daripada penyokong dan ahli UMNO Cawangan Wangsa Maju.

“Selama tiga bulan saya membuat kuitpan sumbangan selepas permohonan saya untuk membayar gantirugi tersebut secara ansuran ditolak,” ujarnya.

Pada 28 Februari 2014, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi RM800,000 dan kos guaman RM50,000 kepada plaintif berhubung penyiaran perkataan fitnah dan meletak imej mengaitkan Anwar dalam video seks di blog Papa Gomo.

Pada 26 Julai 2016, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Wan Muhammad Azri bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi kepada Anwar manakala Mahkamah Rayuan pada 4 Disember 2015 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Anwar memfailkan saman pada 21 Mac 2013 bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa Wan Muhammad Azri menyiarkan artikel yang mengandungi perkataan fitnah di laman blog www.papagomo.com secara berturut-turut antara 16 dan 20 Mac 2013.- MalaysiaGazette