Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ketika hadir pada sidang media berkenaan isu situasi terkini jangkitan 2019 Novel Coronavirus (2019-nCoV) di Malaysia bertempat di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 03 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan seramai 3,451 individu telah menerima Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) sejak projek perintis itu dimulakan pada Januari 2023 tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, PrEP adalah kaedah pencegahan HIV yang berkesan dan terbukti secara saintifik dapat mencegah sehingga ke paras 99 peratus penularan HIV secara seksual.

“Berdasarkan analisis awal, sehingga bulan keenam dan ke-12 penggunaan PrEP, terdapat penurunan kadar jangkitan penyakit Syphilis iaitu daripada 11 peratus kepada 6.5 peratus selepas enam bulan dan 1.3 peratus selepas 12 bulan penggunaan PrEP.

“Peratus klien yang sentiasa menggunakan kondom meningkat daripada 30 peratus kepada 38.6 peratus selepas enam bulan dan 44 peratus selepas 12 bulan penggunaan PrEP.

“Peratus klien yang mempunyai hanya satu pasangan seksual (monogamous) juga meningkat daripada 7.2 peratus kepada 19.4 peratus selepas enam bulan dan 29.6 peratus selepas 12 bulan penggunaan PrEP,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Dzulkefly menjawab soalan lisan daripada Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai status terkini program PrEP kepada individu yang mempunyai pasangan HIV positif terutama yang mengamalkan seks bebas dan seks songsang dalam keadaan belum ada keputusan dari pihak Majlis Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) atau Jawatankuasa Fatwa.

Untuk rekod, projek PrEP dilaksanakan di 18 buah klinik kesihatan dan diperluaskan kepada tiga buah klinik kesihatan pada pertengahan tahun 2023.

Selain itu, Dzulkefly berkata terdapat 51 klien telah berhenti menggunakan PrEP kerana tidak lagi melakukan aktiviti seksual yang berisiko.

“Terdapat tiga kes positif HIV atau 0.09 peratus kerana pengguna tidak patuh kepada pengambilan PrEP. Kadar ini jauh lebih rendah berbanding negara-negara lain yang melaksanakan PrEP lebih awal,” katanya.

Tambah beliau lagi, hasil dapatan awal kajian ini menunjukkan klien yang mengambil PrEP mematuhi dan mengamalkan nasihat pencegahan jangkitan HIV melalui penggunaan kondom secara konsisten serta perubahan tingkah laku yang lebih baik, walaupun sedang menggunakan PrEP.

Selain itu katanya, program PrEP ini telah diperluas daripada 18 klinik kesihatan ke 21 Klinik pada tahun 2023 dan seterusnya akan diperluas kepada 10 buah klinik kesihatan lagi pada tahun 2024.

“Ini menjadikan keseluruhan klinik kesihatan yang terlibat dalam Program PrEP pada tahun 2024 adalah sebanyak 31 buah klinik kesihatan di 14 buah negeri,” katanya.

Dzulkefly berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada 23 Julai tahun lalu telah mengeluarkan fatwa hukum harus bagi pengamal perubatan memberikan PrEP untuk mencegah penularan HIV.

“Bagaimanapun, individu yang mengambil PrEP untuk menggalakkan dirinya melakukan seks bebas atau songsang adalah haram,” katanya lagi. – MalaysiaGazette