Gambar hiasan. foto IQBAL BASRI, 27 APRIL 2018

KANGAR – Buat julung kalinya Pas Perlis akan mengetengahkan seorang calon wanita yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mata Ayer pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, calon itu ialah Wan Badariah Wan Saad, anak jati Padang Siding yang juga seorang peguam yang mempunyai firma guaman sendiri di Kedah.

“Sebenarnya PAS Perlis telah lama berhasrat untuk mengetengahkan calon wanita di negeri ini, namun  tiada calon yang sanggup dan berani menawarkan diri pada PRU sebelum ini.

“Alhamduillah kali ini, kita ada calon wanita di Perlis dan beliau telah mendapat izin daripada keluarga untuk bertanding,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Wanita PN Perlis di Kompleks PAS Perlis malam tadi.

Mohd Shukri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis berkata, pengumuman nama-nama calon akan dibuat pada 2 Nov ini, namun bergantung kepada keputusaan Pas pusat nanti.

Pada PRU14, calon BN, Siti Berenee Yahaya menang dengan majoriti 720 undi di DUN Mata Ayer menewaskan calon PH-PKR, Lt Kol (B) Azhar Omar dan calon Pas, Mohammad Yahya.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jumlah pengundi berdaftar di DUN Mata Ayer PRU15 hingga 9 Oktober 2022 ialah 9,662 pengundi. – Bernama