Premis perniagaan yang menggaji warga Bangladesh dan Nepal sebagai tukang jahit telah diserbu dan dicekup dalam serbuan semalam di Bandaraya Shah Alam. Gambar Ihsan JIM Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Beberapa premis perniagaan yang memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan mengupah Tonto bagi melindungi tukang jahit warga asing di Shah Alam akhirnya terbongkar.

Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Ibu Pejabat Imigresen Malaysia (JIM) telah menjalankan operasi serbuan ke atas premis berkenaan semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi dijalankan di kawasan pusat perniagaan lot premis tiga tingkat.

Hasil serbuan menyaksikan pihaknya berjaya menahan seramai 27 orang warga Bangladesh dan Nepal.

Premis perniagaan yang menggaji warga Bangladesh dan Nepal sebagai tukang jahit telah diserbu dan dicekup dalam serbuan semalam di Bandaraya Shah Alam. Gambar Ihsan JIM Putrajaya.

“Premis tersebut dilihat seperti tiada sebarang aktiviti perniagaan dan kurang dikunjungi namun hasil pemantauan di dalam premis mendapati kesemua warga asing ini akan memasuki premis dan terus melakukan kerja menjahit sehingga selesai waktu bekerja dan mereka hanya akan keluar setelah selesai tugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Khairul Dzaimee, semasa serbuan, sekumpulan warga asing berkenaan sedang bekerja menggunakan mesin jahit tanpa menyedari menyedari kehadiran pihak berkuasa dan tidak sempat untuk melarikan diri.

Namun katanya, terdapat sebuah premis perniagaan cuba melindungi warga asing terbabit dengan menipu anggota operasi kononnya tiada warga asing menjadi pekerja mereka.

“Justeru, pemeriksaan mendapati mereka turut melakukan ubahsuai bangunan tersebut dengan membuat laluan untuk akses pekerja asing yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

“Premis yang diserbu ini juga menggajikan warga asing paling ramai berbanding premis-premis lain yang diserbu di kawasan perniagaan itu.

Premis perniagaan yang menggaji warga Bangladesh dan Nepal sebagai tukang jahit telah diserbu dan dicekup dalam serbuan semalam di Bandaraya Shah Alam. Gambar Ihsan JIM Putrajaya.

“Hasil maklumat awal yang diperoleh kebanyakan premis  dimiliki oleh warga tempatan dan ‘dialibabakan’ kepada warga asing,” ujarnya.

Malah jelas Khairul Dzaimee, premis yang menggajikan tukang jahit warga asing itu juga menjalankan perniagaan dengan menerima tempahan dari pengusaha tekstil dan juga tempahan daripadai pelanggan tetap.

Mengulas lanjut, dalam serbuan yang sama, seramai 58 orang warga asing telah diperiksa dan hasinya seramai 27 orang berjaya ditangkap.

“Mereka yang berumur antara 22 hingga 45 tahun terdiri daripada 26 lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Nepal.

“Imigresen turut mengeluarkan dua notis untuk hadir memberi keterangan kepada pekerja warga tempatan bagi membantu siasatan dan mengesan pemilik premis tersebut.

“Hasil risikan, premis ini beroperasi seperti biasa setiap hari dan kawasan perniagaan ini merupakan tumpuan warga tempatan bagi membuat tempahan pakaian.

“Premis ini juga dilengkapi CCTV bagi mengesan sebarang aktiviti penguatkuasaan,” jelasnya.

Justeru katanya, pemerhatian Imigresen juga mendapati sekitar kawasan perniagaan ini turut diletakkan beberapa Tonto untuk menghidu pergerakan agensi penguatkuasaan berjaya dipatahkan dengan ketangkasan pegawai operasi.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti terhadap warga asing ini adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen,” katanya.

Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan di bawah Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara dan diusir.-MalaysiaGazette