Rampasan dadah yang diperolehi polis daripada pasangan kekasih.

KUALA LUMPUR – Sepasang kekasih yang dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah ditangkap  dalam satu operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, semalam.

Timbalan Ketuanya, Supt Mohd Shokri Abdullah berkata, pihaknya turut dirampas ketika operasi, dadah dan wang tunai sebanyak RM650 daripada pasangan yang berusia 19 dan 35 tahun itu.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan, pihak Polis telah berjaya membuat rampasan dadah yang disyaki MDMA (anggran berat: 461 gm) / (0.46 kg) dan cecair MDMA (anggaran berat: 1,800 ml) / (1.8 liter),” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Mohd Shokri, hasil siasatan lanjut pasukan polis menyerbu sebuah premis kediaman di Taman Mastiara, Kuala Lumpur dan merampas dadah pelbagai jenis dalam bentuk serbuk, cecair dan pil.

“Siasatan awal pihak polis mendapati rumah tersebut telah disewa selama 4 bulan oleh suspek dengan bayaran sewa RM1,800 sebulan.

“Ujian saringan awal polis (urin) suspek positif dadah Ketamin dan tidak mempunyai rekod lampau,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 6,124 orang pengguna  dadah.

Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan adalah sebanyak RM334,533, ujarnya.

Tambah beliau, suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah pada hari ini hingga  23 Jun.

Menurut Mohd. Shokri, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Tambah beliau, menerusi tangkapan ini, polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan yang dikesan aktif selama di sekitar Lembah Klang.-MalaysiaGazette