Filem Paskal terbitan Astro Shaw.

KUALA LUMPUR – Dunia perfileman tempatan terus mantap apabila filem aksi terbaharu, Paskal meraih kutipan luar biasa sebanyak RM2 juta pada tayangan pembukaan pada Khamis lalu.

Filem arahan Adrian Teh itu mencipta rekod menjadi filem kedua tertinggi selepas Munafik 2 yang meraih RM2.05 juta dalam tempoh sama.

Berita gembira itu dikongsi oleh pihak penerbit Paskal, Astro Shaw di Instagram.

Paskal yang menjalani penggambaran di Lumut, Perak; Semporna, Sabah dan Mahgribi itu menampilkan barisan pelakon seperti Hairul Azreen, Ammar Alfian, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G dan Jasmine Suraya.

Filem itu sedang ditayangkan di seluruh Malaysia dan Brunei.

Sementara itu di laman sosial, netizen yang telah menonton Paskal melahirkan rasa kagum sambil menyifatkan setaraf dengan karya daripada Hollywood.

Paskal yang diinspirasikan daripada kisah sebenar bagi mengetengahkan kejayaan pasukan elit itu dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998, selain misi merampas kapal dagang MT Bung Laurel dari lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011. – MalaysiaGazette