Duduk barisan kedua dari depan dari kanan:Datin Seri Linda (Ketua Srikandi Bahagian), Mohd Faizal A Rani (Timbalan Ketua Bahagian, bertanjak), Mohammad Ridzal Kamal Ghazalee (Ketua Bahagian), Zaharin Shahbudin (Naib Ketua Bahagian, berkopiah)

KUALA LUMPUR – Pasukan 01 mendominasi pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) peringkat Bahagian Wangsa Maju bagi sesi 2019-2022.

Diketuai Ketua Bahagian, Mohammed Ridzal Kamal Ghazalee, ternyata pasukan 01 berjaya menarik hati pengundi-pengundi dalam kalangan ahli-ahli Bersatu bahagian itu.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian dimenangi Mohd Faizal A Rani, Naib Ketua Bahagian, Haji Zaharin Shahbudin dan Ketua Srikandi Bahagian, Datin Seri Lynda Hamid.

Keputusan diumumkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu di Plaza Grand Hotel, Kuala Lumpur selepas semua cawangan di bahagian itu selesai bersidang.

Pasukan 01 Bersatu Wangsa Maju merupakan pasukan tunggal yang memenangi kesemua jawatan utama yang dipertandingkan di peringkat bahagian parti itu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ini merupakan kali pertama parti itu mengadakan pemilihan di semua peringkat bahagian sejak penubuhannya pada 2016.

Bagi Mohammed Ridzal dan Lynda Hamid, masing-masing akan bertanding untuk jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan Exco Srikandi pada 18 April depan. – MalaysiaGazette