Muhamad Firdaus Mohd Fadzilah, Zaharah Baha, Mohd Qayyum Azim Zainal Abidin

BENTONG – Pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun secara tiba-tiba masih mengejutkan penduduk di Simpang Pelangai.

Salah seorang penduduk di sini Muhamad Firdaus Mohd Fadzilah, 31, yang ditemui berkata, mereka seolah-olah ‘patah kaki`apabila wakil rakyat yang menjadi harapan tiada lagi untuk meneruskan legasi pembangunan di situ.

Katanya, Allahyarham telah berjaya menaikkan pelbagai infrastruktur termasuk membangunkan pusat tahfiz di sini.

”Usaha beliau untuk mendapat jajaran lebuhraya dari Simpang Karak ke Simpang Pelangai terus Kuala Pilih telah mendapat perhatian Kerajaan Pusat.

”Sebelum jadi ADUN lagi, jasa-jasa dia banyak kepada masyarakat setempat, banyak membantu dalam program kemasyarakatan, banyak turun padang, saya sendiri banyak menyaksikannya sendiri kehilangan besar pada Pahang.

”Insan yang tak dapat cari ganti, Allahyarham memudahkan urusan penduduk dari segi aduan banyak dia sampaikan kepada kerajaan, pelbagai masyarakat dia bantu,” katanya.

Firdaus menyifatkan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang itu sangat rapat dengan rakyat tanpa mengenal usia.

Sementara itu, Mohd Qayyum Azim Zainal Abidin,31, berkata, Simpang Pelangai kehilangan pemimpin yang berwibawa, banyak membantu penduduk dari segi kewangan dan pendengar rintihan kesusahan rakyat.

”Dia sangat baik, bangunkan tahfiz di sempadan Pahang dan Negeri Sembilan, arwah banyak bangunkan kemudahan infrastruktur, akan ada cash deposit machine (CDM) bulan Disember.

”Memang tersentap dengan berita arwah dan pegawai-pegawainya pergi serentak,” katanya.

Zaharah Baha, 72, pula menyifatkan Allahyarham sebagai pemimpin sejati yang berjiwa rakyat kerana membantu meningkatkan sosio ekonomi  dan rumah kediaman kepada penduduk.

”Dengar cerita nahas kat kedai sebelah memang tak percaya, sampai rumah terus menangis. Selalu jumpa makan kat kedai, kali terakhir jumpa dia semasa di Felda Kemasul.

”Malam sebelum kejadian rasa resah, tidur tak lena rupanya nak jadi benda begini, sedih lah. Sumbangan dapat bantuan duit barang dapur, dah dua tiga kali dapat bantuan dapur,” katanya.

Johari dipilih sebagai ADUN Pelangai selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lalu. – MalaysiaGazette