L Manickam
L Manickam

KUALA LUMPUR – Kerusi Parlimen Port Dickson masih kekal sebagai kerusi tradisi MIC setakat ini, kata Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk L. Manickam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang berkata, sejak 2019, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran telah mengarahkan MIC Negeri Sembilan dan MIC Bahagian Port Dickson untuk terus berkhidmat dan menjaga kawasan.

“Tentang memberi laluan kepada Khairy Jamaluddin, ia adalah kuasa Presiden,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Manickam mengulas tentang kemungkinan Khairy bertanding di Port Dickson selepas beliau mengumumkan kesediaan memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mempertahankan penguasaan BN di kerusi Parlimen Rembau.

Semalam, Khairy menyatakan beliau bersedia menerima apa sahaja keputusan pucuk pimpinan parti berhubung pencalonannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kerusi Parlimen Port Dickson yang pernah dikenali sebagai Parlimen Telok Kemang mulai 1958 hingga 1974, dikuasai PKR sejak PRU12.

Sebelum itu, BN yang diwakili MIC menguasai kerusi yang mempunyai demografi pengundi bercampur itu sejak 1959.

Pemimpin MIC terakhir menyandang kerusi Parlimen Telok Kemang ialah Datuk S. Sothinathan sebelum beliau tewas kepada bekas Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk Kamarul Bahrin Abbas pada 2008.

Kamarul Bahrin berjaya mempertahankan kerusi tersebut bagi penggal kedua pada PRU-13 dengan menewaskan calon BN dari MIC, Datuk VS Mogan dan calon bebas, Kamarudin Kumaravel Abdullah.

Pada PRU-13, nama kawasan Parlimen Port Dickson digunakan semula dan Datuk Danyal Balagopal Abdullah mempertahankan penguasaan PKR di kerusi itu selama tiga penggal berturut-turut dengan mengalahkan Mogan dan calon Pas, Mahfuz Roslan.

Danyal mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson pada 12 September 2018 dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pertama kali bertanding di bawah tiket PH memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

BN mencatatkan sejarah apabila tidak meletakkan calon bertanding di kerusi itu sekali gus menyaksikan Anwar dengan mudah mengatasi calon Pas, Mohd. Nazari Mokhtar serta lima calon bebas iaitu Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Lau Seck Yan, Kan Chee Yuen dan Stevie Chan Keng Leong. – MalaysiaGazette