Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menyampaikan ucapan pergulungan pada Kongres Nasional Khas Parti Keadilan Rakyat di Stadium Melawati, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 18 MAC 2023.

SHAH ALAM – Jawatan yang dipegang oleh pemimpin PKR dalam kerajaan hari ini bukan untuk bermegah.

Sebaliknya, kata Naib Presidennya, Nik Nazmi Nik Ahmad, jawatan dan kuasa yang dimiliki itu adalah untuk melaksanakan kata-kata reformasi yang diucap dan diulang sekian lama.

Kata beliau, PKR juga harus sedar, parti itu berada di Putrajaya hari ini juga bukan atas nama kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetapi Kerajaan Perpaduan.

“Kita bersama dalam gagasan lain dan parti lain termasuk seteru yang kita berlawanan sekian lama.

“Kita tahu, negara tidak ada pilihan, PRU lalu walaupun kita menjadi blok yang besar tetapi tidak ada satu gagasan atau kelompok yang mempunyai bilangan kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan.

“Maka atas kepentingan rakyat, juga kestabilan selepas kita tengok saban tahun bertukar perdana menteri dan menteri, hari ini negara memerlukan satu nokhtah dalam suasana politik, kita ambil keputusan untuk membentuk kerajaan ini,” katanya pada sesi penggulungan di Kongres Nasional Khas Keadilan 2023 di sini hari ini.

Kata Nik Nazmi, walaupun keputusan yang dibuat itu bukan mudah tetapi beliau yakin ia adalah tindakan yang tepat dan bertanggungjawab.

“Selain itu, kita hargai kerjasama dan sokongan daripada rakan PH hingga kita dapat merealisasikan perkara ini,” katanya. – MalaysiaGazette