Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar Pandora Papers
Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri bersetuju supaya Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menyembah maklum kepada Majlis Raja-Raja berhubung cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara kewarganegaraan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pindaan itu perlu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja berdasarkan Fasal (5) Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan itu juga, katanya, hendaklah mendapat sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen di bawah Fasal (3) Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 September lalu telah bersetuju supaya Peguam Negara menyembah maklum kepada Majlis Raja-Raja berhubung keputusan kes Suriani Kempe & Ors v. Kerajaan Malaysia & Ors (2021).

“Mesyuarat Pre-Council dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah dijadualkan pada 23 dan 24 November ini,” katanya menjawab pertanyaan Ramkarpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) yang membangkitkan mengenai isu kewarganegaraan kepada anak lahir kepada ibu atau ayah warganegara Malaysia.

Menurut beliau, sekiranya cadangan pindaan turut menyentuh hak orang yang lahir sebelum Hari Malaysia untuk menjadi warganegara oleh sebab perhubungan mereka dengan negeri Sabah dan Sarawak atau jaminan layanan sama rata antara orang yang lahir dan bermastautin di Negeri-Negeri Borneo dengan orang yang lahir dan bermastautin di Negeri-Negeri Melayu, persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Sarawak hendaklah diperoleh selaras dengan perenggan (a) Fasal (2) Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan.

Kata beliau, apa-apa cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah tertakluk kepada Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan (PP).

Katanya, menurut Perkara Fasal (3) 159 PP, suatu rang undang-undang bagi membuat apa-apa pindaan kepada PP (selain pindaan yang dikecualikan daripada peruntukan Fasal (3) Perkara 159 PP) dan sesuatu rang undang-undang bagi membuat apa-apa pindaan kepada sesuatu undang-undang yang diluluskan di bawah Fasal (4) Perkara 10 PP tidaklah boleh diluluskan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen.

Melainkan, kata Dr. Wan Junaidi, jika rang undang-undang itu telah disokong pada Bacaan Kali Kedua dan Kali Ketiga dengan undi sebanyak tidak kurang daripada dua pertiga daripada jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen itu.

Berhubung cadangan empat Ahli Parlimen agar peruntukan untuk Parlimen, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dipertimbangkan untuk dinaikkan, beliau berkata, kerajaan sentiasa komited dan berusaha menambah baik keupayaan agensi kerajaan bagi memantapkan fungsinya.

Menurut beliau, dalam konteks peruntukan Parlimen, SPRM, Jabatan Audit Negara dan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Kebangsaan (GIACC), permohonan serta kelulusan peruntukan oleh Kementerian Kewangan berdasarkan kepada perancangan keseluruhan kerajaan.

Peningkatan peruntukan bagi tahun 2022 yang diluluskan untuk GIACC dan agensi di bawahnya berdasarkan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2022 oleh Kementerian Kewangan menunjukkan komitmen kerajaan untuk meneruskan usaha pemerkasaan governans, integriti dan antirasuah itu.

“Untuk Parlimen, terdapat peningkatan dua peratus dalam Bajet 2022 berbanding tahun 2021. Peningkatan ini untuk membiayai perolehan aset penting bagi operasi harian Parlimen seperti Penggantian Perkakasan Wireless Access Point di seluruh Kompleks Parlimen, Sistem Pengurusan Kehadiran Kakitangan dan lesen perisian.

“Untuk SPRM pula, jumlah peruntukan diluluskan bagi tahun 2022 adalah paling tinggi berbanding lima tahun kebelakangan ini dan SPRM amat menghargai keprihatinan Yang Berhormat berkenaan peningkatan peruntukan agensi ini terutama untuk tujuan pengisian perjawatan yang lebih daripada tahap sedia ada iaitu 85 peratus sahaja.

“Permohonan peruntukan perbelanjaan mengurus Jabatan Audit Negara (JAN) dalam Belanjawan 2022 juga berdasarkan dua program utama iaitu Program Pengurusan dan Program Pengauditan,” katanya.

Katanya, Program Pengurusan terdiri dari urusan pentadbiran, kewangan, sumber manusia dan latihan, manakala Program Pengauditan terdiri daripada Audit Kewangan, Audit Prestasi, Audit Tadbir Urus dan Audit Negeri. – MalaysiaGazette