Musa Awang
Musa Awang

KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) perkongsian teknologi eksklusif dengan CanLaw Asia Sdn. Bhd. (CanLaw) sebagai langkah progresif yang akan mendorong Peguam Syarie memasuki dan melibatkan diri dalam ekonomi digital Malaysia yang pesat berkembang.

Pemeteraian MoU itu disempurnakan Presiden PGSM, Musa Awang dengan Ketua Pegawai Eksekutif CanLaw, Loo Soon Yi di Kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Penandatanganan perkongsian eksklusif itu adalah untuk membangunkan portal carian peguam Ssyarie dikenali sebagai CanLaw Syariah berdasarkan teknologi carian peguam yang ada di CanLaw serta untuk terus bekerjasama dalam pembangunan inovasi teknologi yang sedang berjalan dalam industri perundangan syariah.

Menurut Musa, portal CanLaw Syariah yang akan dibangunkan itu membolehkan orang ramai membuat carian Peguam Syarie bertauliah secara atas talian serta membandingkan sebut harga dari sehingga lima peguam syarie berbeza dalam hanya beberapa klik mudah.

Katanya, ini menjadikan industri perundangan syariah lebih mudah, telus dan mesra teknologi.

“Orang ramai juga berpeluang memilih senarai peguam syarie yang terbaik bagi mewakili mereka tanpa dipengaruhi atau diselewengi oleh agen atau ‘ulat-ulat’ yang menyamar atau bertindak seolah-olah peguam syarie.

“Pengenalan portal CanLaw Syariah akan mengubah cara rakyat Malaysia untuk mendapatkankan khidmat peguam syarie dan ini suatu langkah penting kerana pasaran dalam talian yang sedang berkembang pesat kini,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Kata Musa, profesion guaman syarie juga perlu bersedia dan teruja dengan pelbagai projek inovasi lain yang akan muncul di hadapan mereka.

Selain daripada platform carian peguam syarie CanLaw, katanya, PGSM dan CanLaw juga akan bekerjasama untuk mempromosikan penggunaan teknologi di kalangan peguam syarie di negara ini.

“Kita akan lakukannya melalui bengkel adopsi teknologi, perkhidmatan pembangunan laman web yang mampu dimiliki serta membuka akses kepada pengetahuan undang-undang syariah melalui pelbagai strategi kandungan dalam talian,” katanya.

Kata beliau, portal carian peguam syarie CanLaw dijanka dilancarkan pada Konvensyen Nasional Peguam Syarie Malaysia kali keempat pada 10 November ini.

“Pada masa sama, satu aplikasi pendamping mudah alih untuk peguam syarie iaitu CanLaw Syariah Pro juga akan diperkenalkan tidak lama lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette