Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (tengah) diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong (kiri) menyaksikan wakil PTS Impression Sdn. Bhd., Datuk Wira Boo (dua kiri) menukar dokumen perjanjian persefahaman bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kirin Financial Group Limited, Justin Ng (kanan) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Rasmi antara syarikat pemaju pelancongan, Yong Tai Berhad dengan beberapa syarikat lain di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 08 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Kehadiran pelabur asing dari China dalam projek pembangunan hartanah pelancongan kebudayaan, Encore Melaka sehingga RM700 juta jelas membuktikan Malaysia bukan sebuah negara bankrap.

Ujar Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, ia membuktikan dakwaan pembangkang itu nyata tidak berasas dan ia hanya cubaan untuk menakut-nakutkan pelabur asing ke negara ini.

“Sudah tentu dengan pelaburan RM700 juta ini ia adalah pelaburan yang besar dan apa yang lebih penting ialah kenyataan yang dibuat oleh Kerajaan China bahawa pelabur mereka sedang melabur di Malaysia.

“Kita tahu pelabur China datang ke sini dan ini bermakna mereka ada keyakinan dalam kalangan pelabur di China di mana mereka boleh melabur duit mereka dalam jumlah besar dan mereka dapat pulangan,” katanya pada sidang media di Hotel Mandarin Oriental, di sini, hari ini.

Terdahulu Mohamed Nazri bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong menghadiri Majlis Menandatangai Perjanjian Rasmi antara syarikat pemaju pelancongan, Yong Tai Berhad dengan beberapa syarikat lain dalam projek Encore Melaka.

Sebelum ini, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim ketika masih menjadi ketua pembangkang mendakwa Malaysia yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) sudah gagal dan bankrap.

Malah tindakan itu dipercayai hanya mahu mensabotaj ekonomi Malaysia dengan harapan pelabur asing yang bertapak sejak sekian lama di negara ini menghentikan pelaburan mereka.

Mohamed Nazri juga berkata, kedatangan ramai pelabur dari China ini kerana mereka mempunyai keyakinan kepada kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tiada siapa akan melabur di negara bankrap seperti yang didakwa oleh pembangkang.

“Pelabur ini mempunyai keyakinan tinggi untuk membuat pelaburan di negara ini kerana kepimpinan, kestabilan kerajaan, parti politik yang kukuh diterajui oleh BN,” katanya.

Katanya, keyakinan itu hasil daripada hubungan baik Malaysia dengan China bukan sahaja 10 tahun malah sejak ratusan tahun lalu.

“Hubungan antara China dengan Malaysia melalui projek Encore Melaka sudah tentu akan menunjukkan hubungan baik sampai bila-bila ia bukan hubungan sekadar 10 hinga 50 tahun tapi sejak 500 tahun lalu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.