PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Gara-gara mendakwa disamun empat lelaki bermotosikal di Jalan Tengku Mohd Maasum, di sini, semalam seorang pelajar sebuah universiti direman dua hari kerana membuat laporan polis palsu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Mohd Rosdi Daud berkata, tindakan pelajar berusia 20-an itu dikesan selepas siasatan polis mendapati dia gagal memberikan keterangan yang konsisten berkenaan kejadian tersebut.

“Dalam laporan yang dibuat, pelajar itu mendakwa telah didatangi empat lelaki yang menaiki dua motosikal dan memberitahu seorang daripada ‘suspek’ bertindak mengacukan senjata jenis pisau serta meminta dia menyerahkan beg silang yang digalas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosdi berkata, pelajar tersebut  kemudian mengaku membuat laporan serta memberi keterangan palsu atas alasan kad pengenalan miliknya hilang sebelum ini sebanyak tiga kali dan untuk mengelak daripada dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

“Pelajar tersebut direman hingga esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan dan memberikan maklumat palsu.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara hingga 6 bulan atau denda hingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. – Bernama