Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Salleh Said Keruak bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina Datuk Mohd. Sallehuddin bersama rakan-rakan strategik di Majlis Pelancaran "KL as a Cultural & Creative City" di Bursa Malaysia, Kuala Lumpur. foto IMRAN FAKHRI, 07 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Pelan tindakan lima tahun diyakini mampu melonjakkan Kuala Lumpur sebagai bandaraya kreatif dan berbudaya yang diiktiraf antarabangsa.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak optimis mengenainya dan yakin pelan projek pembangunan seperti Bandar Malaysia bakal menjadi modul menyelaras bandaraya lain di Malaysia.

“Pelan tindakan lima tahun itu termasuklah meningkatkan sumbangan Kadar Keluaran Negara Kasar Kuala Lumpur kepada RM19.4 bilion dan mewujudkan 125,000 peluang pekerjaan di ibu kota

“Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (Cendana) sedang menjalin kerjasama rapat dengan KKMM untuk pertumbuhan kebudayaan dan Kreatif dengan peruntukan berjumlah RM40 juta.

“Namun apa yang penting ialah kerjasama jitu pihak pelbagai agensi swasta dan pihak berkepentingan akan menjayakan matlamat lima tahun ini,” katanya selepas melancarkan Laporan KL Sebagai Bandaraya Kreatif dan Kebudayaan hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Cendana, Izan Satrina Mohd. Sallehuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan.

Menurut Salleh, pembangunan kreatif dan kebudayaan  juga bakal meletakkan Kuala Lumpur sebagai ibu kota terbaik untuk dihuni orang ramai termasuk komuniti antarabangsa untuk bekerja, melancong dan memulakan perniagaan.

“Namun saya difahamkan, kehidupan artistik, kreatif dan kebudayaan di Kuala Lumpur berdepan pelbagai bentuk cabaran yang harus ditempuh.

“Namun usaha kerajaan secara berterusan akan memastikan Kuala Lumpur akan menjadi Bandaraya kreatif dan kebudayaan yang bertaraf antarabangsa,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette