Khazanah
Khazanah Nasional Bhd terus mencatatkan pertumbuhan serta melindungi asetnya bagi pihak negara, dengan nilai aset bersih (NAV) meningkat kepada RM86 bilion pada 2021 daripada RM79 bilion tahun lepas.
KUALA LUMPUR – Peletakan jawatan beramai-ramai seluruh lembaga pengarah Khazanah Nasional Bhd baru-baru ini tidak dijangka membawa sebarang kesan terhadap pasaran ekuiti tempatan, kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan Hermana Capital Bhd Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan.

Ini kerana, katanya, prestasi ekuiti tempatan dipengaruhi terutamanya oleh bursa serantau.

“Malahan, kesannya tidak ketara. Setakat ini, kita tidak melihat sebarang turun naik besar dalam harga saham berkaitan dengan syarikat yang Khazanah telah melabur, yang termasuk CIMB Bank Bhd dan Axiata Group Bhd,” katanya kepada Bernama.

Selain daripada itu, Nazri Khan juga berkata, laporan bahawa Khazanah, Permodalan Nasional Bhd dan Petronas akan diletakkan di bawah Pejabat Perdana Menteri dan bukannya Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang baru dibentuk tidak akan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

“Ia hanya satu langkah penyusunan semula dan langkah kecil untuk menambah baik tadbir dan daya maju tiga syarikat yang berada di bawah Model Baharu Ekonomi.

“Selain itu, langkah tersebut juga merupakan satu cara untuk menghentikan secara berperingkat lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti yang dijelaskan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini,” katanya.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, aliran keluar bersih asing di Bursa Malaysia meningkat kepada RM437.1 juta dari Isnin ke Khamis berbanding jualan asing bersih berjumlah RM247.1 juta yang dicatatkan seminggu sebelumnya.

Mengulas mengenai perkara ini, Nazri Khan berkata aliran keluar itu disebabkan terutamanya penurunan dalam saham berkaitan minyak dan gas yang terjejas akibat ketegangan antara Yaman dan Arab Saudi.

Sementara itu, Penolong Profesor Pengurusan di Asia School of Business Dr Renato Lima de Oliveira berkata beberapa siri peletakan jawatan dan perubahan dalam GLC akan membuka ruang bagi kerajaan pakatan sekarang untuk meneruskan keutamaan dasar dan manifesto mereka.

“Kerajaan sekarang memiliki muhibbah tinggi, dengan peralihan kuasa bersejarah Malaysia, dan Pakatan Harapan (PH) berkeupayaan untuk menyatukan pasukan pentadbiran mereka. Ramai yang melihat perubahan ini sebagai sebahagian daripada saat bersejarah yang unik.

“Bagaimanapun, perlu ditegaskan, satu daripada perkara utama dalam peralihan kuasa kepada PH adalah untuk mengukuhkan institusi negara.

“Adalah penting bagi tempoh jangka panjang untuk mengukuhkan tadbir urus GLC dan melindunginya daripada perubahan dan tekanan politik,” kata de Oliveira, yang juga merupakan felo Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi.

Sementara itu sekiranya kerajaan mahu menukarkan visi bagaimana GLC harus beroperasi, yang mana ia merupakan satu isu yang rumit, beliau berkata, kerajaan perlu merangka satu visi dengan melibatkan masyarakat menerusi pendengaran awam, forum dan perbahasan parlimen.

Daripada maklum balas yang dikumpulkan, ia perlu menugaskan orang yang sesuai untuk melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan, katanya.

“Sewajarnya, melantik menerusi satu sistem yang memastikan jawatan diisi berdasarkan merit, seperti jawatankuasa carian bebas. Jika anda tidak menukar visi tetapi hanya menukar pasukan, ia lebih mudah untuk diganti,” katanya.

De Oliveira berkata GLC perlu dilindungi daripada perubahan dan tekanan politik bagi membolehkan mereka menumpukan sepenuh perhatian dalam melaksanakan keutamaan dasar mana-mana kerajaan yang mentadbir.

Pada Jumaat, Dr Mahathir berkata peletakan jawatan ahli lembaga pengarah dan pengarah urusan Khazanah itu akan membolehkan kerajaan menyusun semula entiti itu dengan sewajarnya.

Beliau berkata peletakan jawatan ahli lembaga pengarah itu akan memberi ruang kepada kerajaan membuat penyusunan semula syarikat sejajar dengan dasar pentadbiran baharu dan juga menegaskan kerajaan bukan dalam proses membalas dendam. — BERNAMA