NIBONG TEBAL – Bacaan kualiti udara (IPU) barhampiran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung masih belum stabil, namun tahap pencemaran udara menunjukkan pengurangan positif.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, berdasarkan pemantauan yang dilakukan pihaknya mendapati bacaan IPU meningkat terutamanya ketika pihak bomba melakukan kerja-kerja pemadaman api menggunakan kaedah pengeboman air dari udara serta tambunan tanah.

Jelas beliau, pihaknya kini memberi keutamaan bacaan IPU di lokasi terjejas iaitu Ladang Byram, Kampung Kebun Baru serta 10 sekolah yang diarahkan tutup baru-baru ini agar operasi persekolahan dapat dijalankan semula dalam masa terdekat.

Sharifah Zakiah menunjukkan bacaan IPU yang dipantau pihaknya membabitkan kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, Nibong Tebal Pulau Pinang.

“Pemantauan status kualiti udara dilakukan sebaik kami mendapat maklumat daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada 12 Januari lalu untuk mengesan sebarang bahan pencemar dalam bentuk gas dan habuk yang dikeluarkan dari tapak pelupusan sampah ini.

“Buat masa ini tahap bacaan IPU tidak stabil, yang mana ada waktu ia berada di tahap kurang sihat dan adakalanya tahap sederhana.

“Bagaimanapun, pihak kami melakukan pemantauan selama 24 jam untuk mendapatkan data cerapan konsisten dan kita percaya keadaan akan menjadi stabil apabila kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Pusat Pemantauan JAS di Ladang Byram di sini, hari ini.

Untuk rekod, JAS Pulau Pinang menggunakan beberapa alat antaranya IPU Mobile Station, Meter Grimm untuk mengesan habuk serta Cerex (mengesan gas) bagi membantu mencerap data berhubung insiden kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Sungai Burung.

Tambah Sharifah Zakiah, pihaknya mengesan kebakaran ini membabitkan sebatian organik meruap (VOC), yang mana akan mengeluarkan beberapa jenis gas.

“Kita akan lakukan semakan gas yang dikeluarkan termasuk tahap kepekatannya serta kesan terhadap manusia.

“Kita bawa analisis gas tersebut untuk makluman jawatan kuasa bencana bagi membolehkan tindakan lanjut diambil seperti pemindahan penduduk baru-baru ini,” kata beliau.

Gambar titik haba yang dirakam pihak JAS Pulau Pinang mengguna thermal dron.

Mengulas lanjut Sharifah Zakiah berkata, pihaknya turut membantu bomba mengesan titik haba di permukaan bawah tapak pelupusan sampah tersebut bagi membolehkan proses pemadaman berjalan lancar.

“Kita guna thermal dron mengesan titik haba di bahagian bawah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar sekali gus membantu pihaj bomba mengetahu situasi kebakaran yang sebenar di tapak pelupusan sampah itu,” kata beliau. – MalaysiaGazette