DUBAI – Pengawal Revolusi Iran melepaskan peluru berpandu balistik jarak jauh ke Lautan Hindi pada hari kedua latihan ketenteraan, lapor media negara.

Latihan ini dijalankan ketika ketegangan tinggi dengan pentadbiran Presiden Donald Trump.

Sehari sebelumnua, Iran melakukan ujian peluru berpandu balistik permukaan-ke-permukaan dan dron baharu buatan tempatan di kawasan yang sama.

“Salah satu tujuan dasar pertahanan kami yang paling penting adalah menggunakan peluru berpandu balistik jarak jauh terhadap kapal perang musuh, termasuk kapal induk dan kapal perang,” kata media negara itu yang memetik kenyataan komander Pengawal Mayor, Jeneral Hossein Salami.

Dengan peluru berpandu yang memiliki jarak 1,800 kilometer, Salami berkata, “kita sekarang dapat menyerang sasaran bergerak di lautan,” berbanding peluru berpandu berkelajuan rendah biasa.

Sasaran latihan pada hari Sabtu adalah di Teluk Oman dan utara Lautan Hindi.

Ketua Staf, Jeneral Mohammad Baqeri berkata, Iran tidak berniat menyinggung perasaan, namun sekarang ia dapat “bertindak balas terhadap tindakan sebarang permusuhan dan niat jahat dalam waktu paling singkat”.

Pada hari Rabu, Iran menguji peluru berpandu tentera laut jarak dekat di Teluk dan latihan awal bulan ini negara itu menampilkan pelbagai dron buatan domestik.

Iran mempunyai salah satu program peluru berpandu terbesar di Timur Tengah, yang menganggapnya sebagai kekuatan pencegah dan pembalasan terhadap Amerika Syarikat dan musuh lain sekiranya berlaku perang.

Terdapat konfrontasi berkala antara tentera Iran dan tentera Amerika Syarikat di Teluk sejak 2018, ketika Trump menarik balik perjanjian nuklear 2015 dengan kuasa dunia dan mengembalikan sekatan keras terhadap Teheran. – MalaysiaGazette