Foto: Che Fiti Zulhilmi Che Leh

GUA MUSANG – Seorang pemandu lori ais dan kelindannya mendakwa terserempak dengan harimau belang ketika melalui jalan Gua Musang-Jeli di kawasan Bukit Meranto, di sini, semalam.

Che Fiti Zulhilmi Che Leh, 22, berkata, dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, dia yang sedang memandu ditemani Mohd Amir Saari, 25, ternampak haiwan itu ketika dalam perjalanan pulang dari Jeli menuju ke Gua Musang.

“Sebelum itu, waktu pagi saya sudah pun melihat kelibat harimau itu di atas jalan, tetapi hanya sempat mengambil gambar … pada petangnya saya sempat merakam video dan berkongsi maklumat itu kepada penduduk melalui aplikasi WhatsApp,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini, hari ini.

Che Fiti Zulhilmi yang berkongsi video berkenaan kepada penduduk setempat meminta pengguna jalan raya lain berwaspada ketika menggunakan laluan berkenaan, turut berharap rakaman itu mendapat perhatian pihak berwajib agar dapat mengambil tindakan drastik demi keselamatan penduduk di kawasan terbabit.

“Saya harap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat menangkap pak belang ini kerana bimbang kehadiran haiwan ini akan menyebabkan kemalangan sekiranya pemandu yang menggunakan laluan ini terkejut dan tidak sempat mengelak.

“Saya dapat melihatnya sebanyak dua kali dalam hari yang sama di jalan utama dari Gua Musang ke Jeli dan tidak mustahil haiwan itu akan muncul semula dan mungkin akan mengakibatkan bahaya kepada penduduk,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya telah menerima aduan berkenaan kejadian yang telah tular itu.

“Pihak kami telah ke tempat kejadian dan siasatan sedang dijalankan,” katanya. – Bernama