Penduduk Kampung Melayu terdiri daripada jentera BN-PH kerah tenaga untuk pemasangan bendera parti sempena PRN.

GEORGE TOWN – Kehangatan Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) di Kampung Melayu, Air Itam, di sini, berlainan dengan kawasan lain apabila semangat perpaduan itu ditonjolkan bermula daripada pemasangan bendera parti.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati kerja pemasangan bendera yang selalunya dilakukan golongan lelaki atau anak muda yang ingin mencari wang tambahan ketika musim pilihan raya itu dilakukan secara bergotong-royong di kawasan tersebut.

Lebih meriah apabila golongan wanita yang terdiri daripada jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) turut sama membantu menyiapkan pemasangan bendera pada batang paip polivinil klorida (PVC) untuk ditempatkan di seluruh kawasan sekitar Kampung Melayu.

Pemasangan bendera dilakukan golongan wanita, lelaki dan remaja di kawasan itu secara gotong-royong.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Madani Malaysia, Datuk Seri Salim Abdul Rahman sokongan yang diberikan penduduk serta jentera PH-BN menunjukkan konsep perpaduan itu semakin menebal dalam kalangan rakyat.

“Jika dulu kita perlu bayar wang untuk upah mana-mana pihak pasang bendera tapi PRN kali ini Kampung Melayu menampilkan kelainan apabila penduduk sendiri secara sukarela mahu terlibat dalam aktiviti pemasangan bendera.

“Saya memang terkejut apabila anak muda, wanita semua hadir tanpa sebarang upah semata-mata untuk merasakan kehangatan pilihanraya.

Salim.

“Malah, melalui aktiviti ini menunjukkan teladan kepada golongan muda dengan membangkitkan semangat gotong-royong,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Sementara itu, penduduk, Nizar Abdul Nazer, 36, menyifatkan suasana pemasangan bendera parti kali ini lebih meriah meskipun jangal buat dirinya yang sudah biasa menaikan bendera parti PH.

Nizar.

“Sebelum ini, saya terlibat dalam pemasangan bendera parti PH kali ini agak jangal bila bendera BN juga dinaikkan bersama.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan suasana pemasangan bendera dua parti gabungan ini sangat meriah kerana kita bekerjasama dengan jentera parti yang sebelum ini dianggap parti lawan,” katanya.

Bagi Siti Rozaini Ahmad pula, semangat perpaduan yang disebut-sebut terbukti di Kampung Melayu apabila pelbagai lapisan usia dan bangsa turut sama dalam pemasangan bendera parti kali ini.

Siti Rozaini.

“Saya memang dah biasa terlibat dalam kerja-kerja pilihanraya jentera BN cuma kali ini tidak dinafikan suasana itu meriah kerana gabungan dua parti besar hingga ke peringkat akar umbi.

“Bagaimanapun, seperti mana kami bersatu saya juga harap kerajaan kekal dalam konteks Perpaduan demi kesejahteraan semua rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette