Ismail Sabri Yaakob targeted domestic travel bubble tourism Langkawi
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk membenarkan pembantu rumah warga asing yang terkandas di kampung halaman mereka kembali ke Malaysia.

Bagaimanapun  Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka perlu membuat permohonan daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Katanya, mereka juga perlu menjalani ujian swab tiga hari sebelum tarikh berangkat, seterusnya dikuarantin selama 10 hari selepas tiba di negara ini.

Kos kuarantin dan ujian swab perlu ditanggung oleh majikan, ujarnya.

“Ada pembantu rumah balik ke kampung bercuti sebelum ini, sampai di kampung kita tutup pintu sempadan negara mereka sudah mempunyai permit kerja visa.

“Tetapi mereka perlu memohon melalui My Travel Pass selepas mendapat kebenaran daripada JIM bolehlah balik ke negara ini tetapi SOP mesti dipatuhi iaitu mesti dikuarantin,” katanya pada sidang media perkembangan PKP hari ini.

Sementara itu Ismail Sabri memaklumkan, kerajaan turut membenarkan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) memproses permohonan baharu untuk kemasukan pembantu rumah warga asing.

Namun tambahnya, proses membawa masuk pembantu rumah baharu dari negara luar itu tertakluk kepada dasar pembukaan pintu sempadan Malaysia.

“Kita dimaklumkan jangka masa proses setiap permohonan tiga hingga empat bulan kerana banyak yang perlu diperolehi, ia memakan masa.

“Permohonan itu boleh diproses mulai sekarang tetapi mereka tidak lagi boleh membawa masuk walaupun diluluskan sehingga kita membenarkan pekerja asing balik ke ngeara kita apabila sempadan negara dibuka,” tambah beliau. – MalaysiaGazette