Mohd Zulkrnin Abdul Rashid didakwa atas lima pertuduhan mengikut Akta SPRM di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang pembantu tadbir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini atas lima pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan dengan mengesyorkan syarikat milik anak lelakinya menawarkan perkhidmatan bernilai RM8,890 pada dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Zulkrnin Abdul Rashid, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai pegawai badan awam iaitu pembantu tadbir gred N22 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Arumugam Pillai dalam daerah Seberang Perai Selatan telah menggunakan jawatan tersebut untuk mendapatkan suapan.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan.

Dia didapati mengesyorkan syarikat milik anak sulungnya, Salam Rizqi Maju Enterprise bagi kerja perkhidmatan melalui lima nota minta yang keseluruhannya bernilai RM8,890.

Antaranya adalah bagi perkhidmatan mengambil dan menghantar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Machang Bubok ke ILP Arumugam Pillai bernilai RM550 dan kerja pembekalan poster Covid-19 (RM950).

Selain itu, ia membabitkan kerja pembekalan peralatan pencegahan dan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 bernilai RM4,790 membekalkan makanan dan minuman (RM600) serta membekalkan jata negara dan pemasangan cermin gelap kenderaan jabatan (RM2,000).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di ILP Arumugam Pillai di Nibong Tebal di sini antara Februari hingga Julai 2020.

Mohd Zulkrnin didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Jika sabit kesalahan, bapa kepada tiga cahaya mata itu boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri manakala tertuduh yang kini ditukarkan perkhidmatan ke Jabatan Kastam Diraja Malaysia tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding Mohamad Azlan memohon mahkamah menawarkan jaminan RM10,000 beserta penjamin serta syarat tambahan namun tertuduh merayu agar jaminan dikurangkan susulan mempunyai tanggungan anak yang masih bersekolah selain dalam proses penceraian dengan isterinya.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin tempatan selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta lapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM terdekat dengan kediamannya.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Oktober depan. – MalaysiaGazette