Peguam Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla (tengah) bersama Peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar (kanan) hadir bagi mendengar keputusan kes mencabar isu Perlembagaan membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019 di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 09 FEBRUARI 2024.

PUTRAJAYA – Keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan petisyen membatalkan 16 peruntukan daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Syariah Kelantan 2019 bukan pembubaran kuasa mahkamah.

Sebaliknya, keputusan itu berkaitan sama ada dewan undangan negeri mengendalikan kuasa dalam menggubal undang-undang mahkamah.

Oleh yang demikian, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, pihaknya berharap ia akan selesai tanpa perlu membawa ke mahkamah lagi.

“Kami harap perkara ini dapat diselesaikan segera supaya kuasa meenggubal negeri-negeri apabila disahkan, tidak akan menghadapi masalah untuk dicabar di mahkamah,” katanya di Istana Kehakiman, hari ini.

Haniff yang juga wakil Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) turut berkata, ahli Parlimen sepatutnya memainkan peranan mereka bagi menyelesaikan pertikaian antara peruntukkan undang-undang sivil dan syariah.

Jelas beliau lagi, para peguam menerusi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) telah menghantar satu petisyen yang mengandungi syor pindaan sejak tahun 2021.

“Malangnya sampai hari ini, Parlimen sama ada di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih tidak nampak penyelesaian,” katanya lagi.

Dalam pada itu, peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar pula mendesak Kerajaan Persekutuan mewujudkan 16 kesalahan yang diisytiharkan tidak sah agar tidak lagi timbul isu undang-undang.

“Selain itu, kerajaan juga perlu melihat kembali perkara yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk memperjelaskan supaya kita tahu di mana garis panduan dan berbezaan antara kuasa DUN dan Persekutuan dengan jelas,” katanya.

Sementara itu, peguam pemerhati bagi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Yusfarizal Yussoff berkata, dengan keputusan mahkamah itu, mana-mana individu yang melakukan kesalahan di jenayah syariah yang diisytiharkan tidak sah itu tidak boleh diambil tindakan.

“Selepas ini tiada lagi tindakan, siasatan dan pendakwaan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan kerana ia telah diisytiharkan tidak sah serta terbatal,” katanya.

Mahkamah Persekutuan awal hari ini mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Dalam keputusan penghakiman 8-1, panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman. – MalaysiaGazette