Dr Kamarul Zaman Yusoff
Dr. Kamarul Zaman Yusof

KUALA LUMPUR – Benarkah Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjawat jawatan Perdana Menteri di era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) ada menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri meminta kerajaan tidak melabelkan kumpulan Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LLTE) sebagai pengganas?

Surat yang ditujukan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu menyatakan; “Saya berpendapat tidak ada sebab kita teruskan label LTTE sebagai terrorist… Saya fikir eloklah jika dikeluarkan LTTE dari senarai terrorist.

Itu pendedahan penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusof dan mendakwa wujud campur tangan pemimpin tertinggi dalam kerajaan PH terhadap pembebasan 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP itu yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas LTTE.

Kemudiannya pada 21 Februari 2020, Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas membuat kenyataan bahawa 12 individu terbabit wajar dibebaskan kerana pertuduhan ke atas mereka tidak ada asas.

Bagaimanapun, pada 22 Februari, Muhyiddin menjawab kenyataan media Tommy dan menolak pendapat itu dengan menyatakan, kumpulan berkenaan dipercayai masih mempunyai ideologi yang boleh menimbulkan ancaman terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Muhyiddin menjawab, berdasarkan maklumat terkini yang diterima daripada pihak berkuasa, beliau selaku Menteri Dalam Negeri mempunyai asas kukuh untuk mengekalkan penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas.

“Saya ingin menegaskan, penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas adalah tertakluk kepada kuasa Menteri Dalam Negeri yang diperuntukan oleh undang-undang, maka, Peguam Negara tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan yang berada di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri”,” kata Muhyiddin dalam kenyataan balasnya ketika itu.

Dalam pada itu, menurut Kamrul Zaman, berdasarkan fakta itu, rakyat harus ‘membuka mata’ untuk membuat  penilaian, siapakah sebenarnya pejuang dan siapakah sebenarnya petualang.

Ujar beliau, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman (waktu itu), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ada menyebut polis mempunyai bukti kukuh mengenainya pembabitan 12 individu berkenaan.

“Mereka ditahan di bawah Akta SOSMA pada 10 Oktober 2019 dan didakwa di mahkamah bermula 29 Oktober 2019, atas pertuduhan terlibat dengan aktiviti LTTE.

“Berikutan penahanan itu, berdegarlah suara para pemimpin DAP mendesak Peguam Negara menarik balik pendakwaan tersebut dengan alasan LTTE bukanlah sebuah kumpulan pengganas.

“Mereka juga mendesak kerajaan supaya mengeluarkan LTTE dari senarai kumpulan pengganas,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.