Ibu bapa kepada bayi Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak (depan, kiri) dan isteri Nurul Erwani Zaidi diiringi sebahagian anggota keluarga yang mengiringi perjalanan mereka ke London malam ini bagi menjalani pembedahan ketumbuhan Germ Cell Tumor di bahagian mulut ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

KUALA LUMPUR – Pembedahan ke atas, Ainul Mardhiah, yang menghidap ketumbuhan kanser Germ Cell Tumor berisiko tinggi.

Perkara itu dikongsikan oleh bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, selepas dijelaskan oleh doktor.

Ekoran itu, Ainul yang baru berusia sembilan bulan perlu dipastikan bersedia sepenuhnya sebelum menjalani pembedahan besar itu tidak lama lagi.

” Ya, Ainul akan dibedah.Cuma sekarang, mereka mahu Ainul betul-betul sedia sebelum menjalani pembedahan secara besar-besaran kerana masa pembedahan yang agak panjang.

“Sebelum OP (pembedahan), macam-macam perkara mereka perlu teliti kerana OP kali ini terlalu berisiko untuk ainul. Very high risk kata doktor,” katanya menerusi Facebook.

Perkembangan terkini tambah beliau, Ainul telah menjalani Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

Para doktor pakar juga ujarnya, telah berbincang secara teliti mengenai keadaan dan kesediaan bayi itu.

Ahmad Saifuddin dan isteri berangkat ke United Kingdom pada 25 Mei lalu untuk rawatan susulan anaknya itu.-MalaysiaGazette