Ronald Kiandee menyaksikan penyampaian replika cek pembiayaan Agro-Youth Entrepreneur Scheme (Agro-YES).

KUALA LUMPUR –  Agrobank menaikkan nilai pembiayaan Agro-Youth Entrepreneur Scheme (Agro-YES) yang diinisiatifkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sehingga RM500,000.

Sebelum ini, nilai pembiayaan adalah RM200,000

“Ini mengambil kira keperluan modal permulaan yang tinggi bagi memulakan projek pertanian dengan penggunaan teknologi moden dan aplikasi Internet of Things (IoT),” kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee ketika berucap pada majlis pelancaran Agro-Yes di Wisma Tani di sini.

Ronald Kiandee berucap ketika majlis pelancaran Agro-Yes di Wisma Tani, semalam.

Menurutnya, MAFI telah memperuntukkan sebanyak RM21 juta bagi pembiayaan Agro-YES ini.

Semua Agropreneur Muda yang telah menjalankan projek pertanian dan beroperasi lebih 12 bulan layak untuk memohon  mendapatkan pembiayaan sehingga RM500,000 bagi setiap permohonan dengan kadar faedah sebanyak 2.0 peratus setahun.

“Agro-YES merupakan antara inisiatif MAFI menerusi Agrobank untuk menarik lebih ramai golongan muda yang berusia 18 sehingga 40 tahun menceburi bidang pertanian.

“Menyedari tentang pentingnya sektor pertanian dan industri makanan terutamanya ketika negara dan dunia dilanda Covid-19, produk Agro-YES ini membuka peluang untuk membantu meningkatkan pendapatan usahawan muda melalui peningkatan produktiviti pengeluaran, kualiti, teknologi dan inovasi hasil pertanian.

“Produk Pembiayaan Agro-YES direka khas bagi membantu usahawan muda membangunkan pertanian sedia ada mereka ke tahap yang lebih kompetitif seiring dengan teknologi Internet Kebendaan (IOT).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (baju kelabu) hadir ketika majlis pelancaran Agro-Yes di Wisma Tani, semalam.

“Proses birokrasi dikurangkan dalam rantaian permohonan dan tempoh masa pemprosesan dikurangkan daripada dua bulan kepada 14 hari sahaja,” ujarnya.

Kementerian percaya produk Agro-YES ini mampu membantu  memodenkan sektor pertanian dan agromakanan negara dari sudut teknologi dan automasi serta pertanian pintar yang secara tidak langsung melahirkan golongan agropreneur muda yang berjaya. – MalaysiaGazette