Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Kerosakan struktur jejambat dan tiang berhampiran Transit Aliran Ringan (LRT) Bandaraya dan Masjid Jamek dipercayai disebabkan pembinaan sebuah hotel 44 tingkat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerosakan struktur itu telah mengakibatkan penggantungan perkhidmatan di antara stesen LRT Masjid Jamek dan stesen LRT Bandaraya sejak 27 Januari lalu.

Ia berdasarkan hasil siasatan menunjukkan kerosakan kepada tiga struktur jejambat dan tiang telah diakibatkan oleh ground movement yang dipercayai daripada kerja-kerja di tapak pembinaan hotel berkenaan.

“Projek itu adalah pembinaan sebuah hotel 44 tingkat. Itu adalah hasil siasatan daripada syarikat konsultan yang dilantik oleh kementerian. Laporan akhir akan diserahkan kepada Prasarana,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Malah jelas Loke lagi, semua projek yang hendak dibina berhampiran dengan stesen LRT perlu mendapat kebenaran Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebelum ia dimulakan.

“Kita berasa kesal dengan kejadian yang berlaku kerana ia dimulakan tanpa kebenaran dan kelulusan dan ini memberikan kesan kepada kita dan kepada pengguna.

“Gangguan ini bukan disebabkan oleh kerosakan sistem kita tetapi adalah kerana kerosakan struktur disebabkan oleh projek pembinaan bersebelahan stesen LRT Bandaraya,” katanya lagi.

Disebabkan itu, Anthony berkata, insiden ini menyebabkan gangguan kepada ratusan ribu pengguna setiap hari.

Justeru itu, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat pembinaan tersebut.

“Kita akan melihat kemungkinan tindakan undang-undang akan diambil,” tegasnya sambil berkata, gangguan pada laluan itu dijangka berlarutan sehingga September depan.

Beliau berkata pembaikan kerosakan struktur berkenaan akan dimulakan seawal Mac depan dan dijangka mengambil masa tujuh bulan.

“Tempoh ini merangkumi dua bulan kerja-kerja sementara untuk mengukuhkan struktur, dan lima bulan kerja-kerja pembaikan menyeluruh.

“Kerja-kerja ini akan mengambil masa kerana siasatan menunjukkan kerosakan struktur adalah risiko keselamatan yang sangat serius,” katanya lagi.

Operasi perkhidmatan LRT Ampang sebelum ini mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat jajaran landasan yang bengkok berhampiran Stesen Bandaraya serta kerosakan struktur jejambat di kawasan berkenaan.

Ia sekaligus menyebabkan gangguan antara dua stesen iaitu Stesen Masjid Jamek dan Bandaraya bermula 27 Januari lalu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. perancang bandar tidak betul atau kerja2 pembinaan yang salah. buat lrt dulu kemudian hotel jadi tiang lrt rosak, kalau buat hotel dulu lrt kemudian, tiang hotel pula rosak. kena tunggu kereta terbang juga lah jawabnya.

Comments are closed.