Temubual bersama Pemegang Amanah Kuil Sri Mahamariamman, Datuk Sivakumar Nadraja di Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Heavenly, Puchong, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Lebih 30 laporan polis telah dibuat ke atas perkhidmatan televisyen berbayar Astro Vaanavil oleh penganut agama Hindu berikutan rancangan Viluthugal yang disiarkan baru-baru ini.

Rancangan yang menyiarkan sesi temuramah bersama seorang panelis dengan tajuk ‘Perlukah Kita Adakan Sambutan Thaipusam 2021’ itu telah menimbulkan rasa tidak senang hati mereka.

Laporan polis yang dilakukan itu menyatakan rancangan tersebut  menyebabkan perasaan Hindu terutamanya penganut Dewa Muruga tercalar dan terhina.

Pemegang Amanah Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam, Datuk Sivakumar Nadarajah berkata, beliau kecewa kerana perkhidmatan televisyen seperti AStro boleh menyiarkan program seumpama itu.

Kata Sivakumar, sepatutnya Astro Vaanavil lebih professional dan tidak menyiarkan sesuatu yang mampu mengguris sentimen mana-mana pihak.

“Sepatutnya mereka lebih neutral, apakah tajuk sedemikian bagus lagi-lagi untuk tatapan umum? Anda hanya menyebabkan pergeseran antara satu sama lain. Adakah tindakan ini betul dan sihat dalam kalangan masyarakat kita pada masa ini?

“Apakah keperluan dan agenda untuk memberi begitu banyak kepentingan untuk tajuk seumpama ini? Adakah anda ingin menjatuhkan kaum anda sendiri?.

“Saya sememangnya tidak faham malah orang yang bercakap yang anda gunakan untuk berbicara tentang isu tersebut, adakah memiliki sebarang kepakaran itu? Apa yang anda telah lakukan tidak lebih daripada ‘pergaduhan’ antara satu sama lain,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurutnya, ketetapan telah diputuska kerajaan dan seandainya ada keperluan biarlah kerajaan membuat keputusan berhubungan penganjuran Thaipusam.

“Hakikatnya ramai penganut Dewa Muruga yang sudah bernazar dan ingin merealisasikan nazar mereka seperti biasa namun dengan norma baharu jadi apakah masalahnya di sini? Sebenarnya saya kecewa sama sekali dengan Astro Vaanavil,” katanya.

Seorang penganut Hindu menjunjung belanga berisi susu ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Batu Caves, Selangor. foto IQBAL BASRI, 08 FEBRUARI 2020

Pada Isnin lepas, Presiden Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam, Tan Sri R Nadarajah mengeluarkan beberapa garis panduan sambutan Thaipusam di kuil tersebut tahun ini.

Malah kata Nadarajah, untuk mengelakkan orang berpusu atau bersentuhan dalam keramaian perayaan itu nanti, perarakan tidak akan berhenti sepanjang jalan malah ia hanya sekadar empat jam sahaja dan tidak seperti kebiasaan.

Acara lain yang berkait dengan perayaan itu, seperti tindik telinga atau cukur kepala juga tidak dibenarkan serta pembawa Kavadi dihadkan kepada tiga orang selain kedai atau gerai tidak dibenarkan dibuka.

Di Malaysia, Thaipusam disambut secara besar-besaran sekurang-kurangnya di empat tempat, di Kuil Sri Subramaniyar Swami di Batu Caves, Selangor; Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani di George Town, Pulau Pinang; Kuil Arul Subramaniar di Ipoh, Perak dan Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam di Sungai Petani, Kedah.

Tahun ini Thaipusam jatuh pada 28 Januari dan penganut Hindu akan membuat persiapan untuk membayar nazar mereka seawal tiga bulan sebelum tarikh berkenaan.

Bagaimanapun sudah ada jangkaan sambutan ini tidak akan dibenarkan secara besar-besaran dengan garis panduan ketat perlu dipatuhi berikutan penularan Covid-19.

Sementara itu perarakan dua pedati yang membawa Dewa Murugan sempena perayaan Thaipusam di Pulau Pinang berkemungkinan akan dibatalkan.

Perarakan pedati perak yang berusia lebih 100 tahun dan pedati emas yang baharu adalah kemuncak perayaan tahunan Thaipusam selama tiga hari di negeri itu. -MalaysiaGazette