Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan memberi usul ketika Konvensyen Nasional 2022 Parti Amanah Negara di Klana Resort Seremban, Negeri SembilanFoto MUHD NA'IM, 17 SEPTEMBER 2022.

SEREMBAN – Pemuda Amanah tidak akan jemu untuk menagih kerusi ‘gred A’ walaupun mereka seperti dikesampingkan.

Wakil Pemuda Amanah, Hazmi Hassan berkata, Amanah memerlukan orang muda untuk memudakan parti dan permintaan mereka adalah dilandasan yang betul.

Katanya, permintaan mereka itu kerana sayangkan parti dan turut berasa cemburu terhadap Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

“Bila pemuda minta kerusi gred A tapi dikatakan merengek. Tahukah kita sebelum kita dapat solat lima kali sehari sebenarnya, 50 kali sehari. Baginda Rasullah naik berapa kali minta.

“Ya, fasa abang-abang memang sukar, kami tak mampu nak ulangi politik terdahulu, dipenjara, dibogel difitnah. Tapi, hari ni poilitk berubah,” katanya ketika membahaskan Pidato Presiden pada Konvensyen Nasional 2022, Parti Amanah Negara (Amanah) di sini hari ini.

Hazmi berkata, Pemuda boleh setia dengan parti dan disebabkan itu beliau bertanding di kerusi gred F pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu menentang Pas yang meletakkan calon Datuk Nik Mohd Amar Abdullah yang merupakan Timbalan Menteri Besar Kelantan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Pancor di Kelantan.

Akibatnya, beliau kalah pada pertandingan serta hilang deposit.

Menurutnya lagi, jika Pemuda Amanah diberi 10 kerusi untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU15), mereka boleh menggoncang dunia, namun poket-poket pimpinan parti akan kosong diminta oleh mereka yang sememangnya tidak ada duit.

“Berilah kami berdikari, peluang bangunkan parti yang kami cintai ini. Tapi tak apa, jangan bimbang, kesetiaan kami tak berbelah bahagi. Kami setia tetap di sini,” ujarnya.

Permintaan agar Pemuda, Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) dan Wanita Muda Nasional (Warda) supaya diberikan ruang untuk bertanding pada PRU15 di kerusi Parlimen acapkali didengar sepanjang konvensyen yang berlangsung sehingga esok.

Semalam, Ketua Pemuda Amanah, Mohd. Hasbie Muda melahirkan rasa kecewa dengan tindakan parti yang  lebih terbuka untuk melepaskan kerusi ‘gred A’ kepada calon-calon  daripada Parti MUDA.

Katanya, pada masa yang sama, sayap Pemuda Amanah sendiri diberi kerusi ‘khidmat nasional’ dengan alasan ‘menebas lalang’.

Bagaimanapun hari ini, Presiden Amanah Mohamad Sabu memberi jaminan untuk mempertimbangkan kerusi-kerusi untuk diberikan kepada tiga sayap parti tersebut. – MalaysiaGazette