Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi masih belum beroperasi sepenuhnya ekoran pencemaran air mentah di Sungai Semenyih.

Sehingga jam 7.30 pagi, pencemaran masih lagi di kesan di Sungai Semenyih dan berada di tahap 5 ton di muka sauk LRA Bukit Tampoi dan 7 ton di LRA Sungai Semenyih.

Ketua Komunikasi Air Selangor, Elina Baseri berkata, dalam tempoh lebih 14 jam ini, Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 602 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada para pengguna di 274 kawasan iaitu 309,687 akaun pengguna.

Gangguan itu melibatkan empat wilayah iaitu Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Malah, pemulihan gangguan bekalan air tidak berjadual tidak dapat ditentukan sehingga kini, katanya.

Oleh itu, Air Selangor menyarankan para pengguna untuk mengambil bantuan bekalan air alternatif di pili-pili awam.

Ini kerana, bantuan melalui lori-lori diutamakan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis. – MalaysiaGazette