Dua pelajar sekolah menengah disyaki memaki hamun menerusi video tular kerana tak puas hati soalan kertas Sejarah SPM ditahan di Hulu Selangor.

KUALA LUMPUR – Penahanan dua remaja lelaki yang tidak berpuas hati terhadap kertas soalan Sejarah peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibuat berlandaskan undang-undang.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, SUPT Suffian Abdullah berkata, penahanan dua pelajar tersebut adalah untuk merakamkan keterangan dengan lebih teliti dan menyemak fakta daripada pihak berkaitan termasuk isi kandungan telefon bimbit.

Dalam masa yang sama, katanya tindakan berkenaan dibuat bagi mendapatkan laporan disiplin daripada sekolah.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 dan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai respons kecaman kumpulan peguam iaitu Lawyers of Liberty berhubung penahanan dua pelajar berkenaan, baru-baru ini.

Dua pelajar berusia 18 tahun ditahan pada Jumaat lalu susulan video yang tular menunjukkan kedua-duanya tidak berpuas hati dengan soalan Sejarah SPM sambil mengeluarkan kata-kata kesat.

Penahanan dibuat selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang guru wanita berusia 53 tahun.

Menurut Suffian, dua pelajar berkenaan yang direman dua hari telah dibebaskan lebih awal selepas polis berpuas hati dengan siasatan yang dibuat.

Tambah beliau, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor untuk tindakan selanjutnya.

Suffian juga memberi jaminan akan mempercepatkan siasatan kes tersebut. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Bukan polis yg salah..cikgu yg mengada2..pergi lapor polis dah kenapa? Bukan kes jenayah pun..kes disiplin..patut pihak sekolah blh ambil tindakan disiplin..sikit2 nak report polis..

Comments are closed.