Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) 2023

KUALA LUMPUR – Pencalonan bagi Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM), Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu (ATHABM) dan Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal (ATBMST) kini dibuka sehingga 2 Jun depan.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataannya memberitahu, ATHABM terbuka kepada ahli akademik universiti awam (UA) berusia 44 tahun ke bawah.

ATABM diperkenalkan bagi mengiktiraf ahli akademik UA yang mengangkat Bahasa Melayu dalam pelbagai bidang untuk memartabatkan bahasa itu sebagai wahana penyelidikan, penerbitan, pengajaran dan khidmat ikhtisas bukan sahaja dalam bidang Sains Sosial malah Sains dan Teknologi.

Manakala, ATBMST adalah bagi mengiktiraf ahli akademik di Politeknik dan Kolej Komuniti.

Maklumat lanjut mengenai perkara itu, boleh didapati di laman sesawang rasmi ATABM 2023 di https://atabm.mohe.gov.my atau sebarang pertanyaan berkenaan anugerah berkenaan boleh dikemukakan kepada urus setia melalui e-mel [email protected].

KPT berkata, sembilan tokoh akademik telah menerima anugerah berkenaan sejak diperkenalkan pada 2012.

Tambahnya, melalui penganugerahan itu, KPT akan terus komited dalam usaha mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan seterusnya menjadikan Bahasa Melayu kekal sebagai wahana pembangunan ilmu, penyampaian maklumat dan komunikasi di Malaysia. – MalaysiaGazette