Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) kini dalam proses memulakan proses rawatan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang dihenti tugas semalam agar air terawat yang bersih dan selamat dapat diagihkan kepada pengguna.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pencemaran air yang dipercayai mempunyai unsur sabotaj dikesan berlaku di kawasan Jalan KB 1/10, Kampung Baru Balakong baru-baru ini.

Kejadian berkenaan dikesan oleh seorang Pegawai Jabatan Alam Sekitar Selangor yang mendapati minyak hitam terapung di atas permukaan alur air dari kawasan perumahan ke sungai.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Datuk Fadzil Ahmat, pegawai JAS berkenaan telah membuat laporan polis semalam.

“Pengadu telah buat pemeriksaan di kawasan tersebut dapati terdapat minyak hitam yang terapung dikesan di atas permukaan alur air dari kawasan perumahan ke sungai. Pengadu syaki perbuatan tersebut mempunyai unsur sabotaj,” katanya dalam kenyataan.

Sejurus itu katanya, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kontinjen Selangor  telah ke tempat kejadian bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Indah Water Konsurtium (IWK) untuk mengambil sampel.

“Beberapa sampel minyak bercampur air diambil untuk diuji kandungan tersebut utk tujuan siasatan dan pendakwaan kelak,” tambahnya.

Beliau memaklumkan kes tersebut kini disiasat dibawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu pihak Jabatan Siasatan Jenayah Selangor yang bermesyuarat pada 20 Oktober yang lalu bersama-sama agensi penguatkuasaan berkenaan air sepakat untuk menjalankan siasatan dan tindakan bersepadu bagi memastikan penguatkuasaan, siasatan dan pendakwaan berhubung pencemaran sumber air dapat dibuat secara total demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat Selangor. -MalaysiaGazette