Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik

PASIR GUDANG – Penutupan kesemua 111 sekolah yang terjejas akibat pencemaran toksik di daerah ini dilanjutkan sehingga tamat cuti pertengahan penggal pertama berakhir 30 Mac ini.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, lanjutan penutupan itu dibuat berdasarkan prinsip langkah berjaga-jaga yang diambil pihaknya.

“Kita berharap dengan penjelasan ini, semua ambil maklum tentang perkembangan semasa krisis dan kalau ada apa-apa info tambahan, kita (kementerian) akan maklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat mangsa pencemaran di Pusat Rawatan Awal di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis dan Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Azman Adnan.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan menutup semua 111 sekolah di daerah Pasir Gudang berkuatkuasa serta merta pada Rabu lepas sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan.

Ia berikutan pencemaran kimia di Sungai Kim Kim yang telah menjejaskan kesihatan pelajar di kawasan terbabit sejak beberapa hari lalu. – MalaysiaGazette