Permohonan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk mengetepikan syarat penyerahan pasport antarabangsa kepada mahkamah dengan menaikkan jumlah jaminannya, ditolak Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
Tengku Adnan Mansor

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan menunjukkan keterangan bahawa cek RM2 juta diserahkan sendiri oleh ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu di pejabatnya di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim yang membacakan penyataan pembukaan kes berkata keterangan akan menunjukkan Tengku Adnan yang merupakan tertuduh dalam kes ini telah mendapatkan untuk dirinya suatu barangan berharga iaitu wang RM2 juta tanpa balasan daripada Chai melalui cek Hong Leong Bank bernombor 136822 bertarikh 14 Jun 2016 milik Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd.

Cek itu telah didepositkan ke dalam akaun CIMB bernombor 80-0117974-7 milik Syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang mana tertuduh merupakan pemegang saham terbesar syarikat itu dan tertuduh juga mengetahui bahawa syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh.

Julia berkata pendakwaan akan membuktikan bahawa pada 27 Jan 2015, Chai sebagai pengarah Syarikat Aset Kayamas telah menyerahkan surat “Cadangan Pembelian Tanah Untuk Tujuan Pembinaan Rumah Mampu Milik di Bawah harga RM200,000 dan Apartment Harga Bebas di atas Tanah Lot 53427 dan Lot 53653 seluas 4.05 hektar di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur” bertarikh 26 Jan 2015 kepada tertuduh secara kediri.

“Tertuduh telah memberi arahan kepada Datuk Zulkifli Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Pelaksanaan Projek dan Penyelenggaraan melalui minit tertuduh iaitu “Ybhg Datuk Zul, sila teliti cadangan ini dan jika boleh dilaksanakan mengikut kaedah kongsi sama. Harap maklum balas, sila bincang dengan syarikat,” kata Julia pada hari pertama perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Beliau berkata keterangan akan menunjukkan bahawa permohonan pembelian tanah-tanah itu oleh Syarikat Aset Kayamas telah ditolak oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur melalui surat bertarikh 3 April 2015.

“Seterusnya, pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan menunjukkan bahawa Syarikat Aset Kayamas telah secara berterusan berurusan dengan YB Menteri Wilayah Persekutuan (tertuduh) terhadap penolakan itu dan lain-lain urusan berkaitan cadangan projek itu,” katanya.

— BERNAMA

1 Komen

  1. Persoalannya: Sesiapa pun boleh memasukkan cek melalui Cheque Deposit Machine jikalau ada no akaun syarikat tersebut.

Comments are closed.