Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz (tiga kiri) Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih 2019 beramah mesra bersama penduduk setempat di Pasar Awam Semenyih, Semenyih, Selangor. foto MUHAMMAD ZULHAIRI 17 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Mungkin juga  benarnya Pilihan Raya Kecil (PRK) N24 Semenyih bakal menyaksikan kemenangan bukan dalam kalangan parti gergasi seperti Pakatan (PH) atau Barisan Nasional (BN) kali ini.

Sebaliknya parti ‘nyamuk’ seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) atau  calon bebas, Kuan Chee Heng atau lebih popular dengan nama timangan ‘Uncle Kentang’ juga mempunyai peluang menang walaupun tidak memiliki jentera atau dana sebesar parti lain.

Ini kerana rata-rata masyarakat serta pengundi Semenyih kira-kira 54,000 daripada lebih 300,000 penduduk sebenarnya bosan serta muak dengan parti pemerintah dan kerajaan terdahulu.

Masyarakat Semenyih sebenarnya mempunyai pellbagai permasalahan sejak sekian lama dan tidak dapat diselesaikan sehingga kini.

Walaupun sudah berubah kerajaan sebaliknya setiap ahli politik yang hadir hanya sekadar menabur janji.

Antara yang masih menghantui penduduk Semenyih termasuklah masalah pengangkutan yang agak kronik sejak dulu lagi malah pelbagai lebuhraya dengan bayaran tol mahal sentiasa ‘menghimpit’ penduduk.

Tidak cukup dengan itu, dengan penduduk yang begitu ramai, pengangkutan awam juga tidak disediakan dengan secukupya malah ketiadaan jajaran komuter ke Semenyih juga menjadi keluh kesah mereka.

Perkhidmatan bas juga memaksa penduduk untuk menunggu sekian lama sehingga setengah hingga satu jam atau lebih untuk ke lokasi tertentu termasuk hospital atau klinik komuniti.

Ini juga menyebabkan penduduk Semenyih beralih arah dengan membeli kereta yang kemudiannya menyebabkan semua terpaksa terperangkap dalam kesesakan lalu lintas saban hari selama berjam-jam.

Masalah itu bukan baharu sebaliknya sudah sekian lama.

Penduduk Semenyih terpinggir daripada arus perbandaran yang seimbang sejak begitu lama.

Bayangkan, projek-projek perumahan mewah dan moden yang dilaksanakan menyebabkan hampir semua daripada mereka tidak mampu membelinya kerana harga terlampau tinggi.

Sehingga hari ini masih ada rumah-rumah ini masih lagi tidak berpenghuni sehingga beberapa tahun lamanya.

Perancangan yang dilakukan sebenarnya tidak  mengutamakan kehendak serta kepentingan penduduk Semenyih yang terabai untuk sekian lama.

Walaupun BN telah memerintah untuk jangka masa yang lama malah kawasan Semenyih sentiasa menjadi kubu kuat mereka sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 yang menyaksikan kemenangan PH pula namun perubahan masih di takuk lama.

MGF17022019_PC NIK AZIZ 2
Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz (tiga kanan) Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih 2019 bercakap kepada media semasa di Jalan Pasar Baru Semenyih, Selangor. foto MUHAMMAD ZULHAIRI 17 FEBRUARI 2019

Malaysia Gazette yang berkesempatan berbual dengan calon muda PSM, Nik Aziz Afiq Abdul di pusat khidmat parti sosialis itu melahirkan rasa yakin tidak terhingga ‘selera’ warga Semenyih mungkin berubah kali ini.

Kata Nik Aziz yang baharu sahaja 25 tahun itu, walaupun muda dirinya bukan asing dalam dunia politik.

Apatah lagi kedua-dua ibu bapanya merupakan orang kuat Pas selain daripada memiliki jawatan penting dalam parti Islam itu.

“Malah nama saya sendiri di ambil sempena Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Politik ini sebenarnya bukan baharu, saya membesar dalam dunia ini tetapi prinsip serta fokus saya adalah berkhidmat untuk masyarakat, itu juga sesuatu yang telah diajar oleh keluarga saya.

“Sebenarnya, walaupun sudah tiga kali kami (PSM) kalah, kita tetap bertanding di sini kerana apa yang telah kita bina di sini, hubungan kita dengan penduduk juga akrab sehingga hari ini malah, pusat khidmat ini sentiasa penuh terutamanya hari Selasa walaupun kini kerajaan telah berubah.

“Ada perkara yang mereka masih gagal lakukan sehingga hari ini.

“Dulu, khasnya 2018, rata-rata rakyat teruja dalam menumbangkan rejim kerajaan BN, itu yang telah berlaku pada PRU lepas. Pada mereka, kuasa rakyat itu perlu dilihat sendiri oleh ahli-ahli politik ini.

“Bagaimanapun, selepas berjaya menumbangkan kerajaan terdahulu yang pernah memerintah lebih 60 tahun lagi-lagi dengan menang kerajaan pusat, masyarakat menyaksikan pula ‘pusingan U’ yang mengejutkan. Tentunya mereka bosan dan muak.

“Semuanya flip flop, semuanya tidak ditepati dan semuanya tidak boleh. Selain daripada itu, PH juga tidak memiliki kepakaran dan juga masa singkat untuk melakukan apa-apa di Semenyih,” katanya.

Bagaimanapun, apa yang membuatkan rakyat di sini tidak senang hati apabila secara keseluruhan, prinsip serta perjuangan itu berubah nada.

“Itu yang rakyat tidak suka dan marah. Kerana itu, peluang untuk kita menang itu cerah malah sudah dua hari kita berkempen sejak semalam, masyarakat bukan sahaja sangat menerima malah secara terbuka meluahkan perasaan ketika ini betapa kecewanya mereka.

“BN pun mereka tolak dan sudah ditumbangkan kini PH juga akan mengalami nasib sama kerana kuasa dan mandat akhirnya pada rakyat dan bukan sebaliknya, kita ada peluang, itu adalah antara sebab kita masih berani bertanding kerana PSM masih relevan di mata rakyat,” katanya.

MGF17022019_KEMPEN PSM PASAR AWAM SEMENYIH03
Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz (tiga kanan) Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih 2019 beramah mesra bersama penduduk setempat di Pasar Awam Semenyih, Semenyih, Selangor. foto MUHAMMAD ZULHAIRI 17 FEBRUARI 2019

PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57 tahun, yang merupakan Ketua Bersatu Bahagian Hulu Langat pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung.

Jelas Nik Aziz lagi yang juga merupakan tukang urut tradisonal, PH serta penyokongnya juga tidak perlu gusar kerana walaupun dengan kemenangan Semenyih ini sekiranya berpihak kepada PSM, tidak bermakna mereka sudah hilang kuasa.

“Kerajaan negeri masih lagi anda (PH) punya, anda cuma hilang satu kerusi sahaja, ini sebenarnya amanat rakyat yang sememangnya mahukan satu sistem ‘semak dan imbang’ jika tidak yang juga rugi adalah rakyat,” ujarnya.

Terdahulu, ketika menjawab tentang dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Pas tidak akan menyokong UMNO dalam PRK kali ini, Nik Aziz melihatnya dapat memberikan kelebihan kepada dirinya.

Katanya, dakwaan oleh Mahathir itu berkemungkinan akan menyebabkan penyokong-penyokong Pas di Semenyih akan memberikan undi kepadanya.

“Penyokong-penyokong Pas ini ada masalah dengan parti-parti dalam PH malah ketika ini kita tidak tahu pula bagaimana hubungan mereka dengan UMNO, jadi saya merupakan calon terbaik.

“Saya lihat ini merupakan satu kelebihan, oleh itu saya berharap ahli-ahli Pas dapat faham perjuangan saya sekali gus dapat memberikan sokongan kepada PSM,” tegasnya dengan penuh yakin. –MalaysiaGazette