1: Zaidatul Husna Zulkifli (kiri) dan Zaidatul Husniah (kanan) bergraduat bersama pada Majlis Konvokesyen ke-47 Universiti Putra Malaysia (UPM) Sidang 2, hari ini.

SERDANG – “Syukur sangat!” luah pasangan kembar pelari pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli (adik), 30 dan Zaidatul Husna (kakak) setelah berjaya bergraduat bersama pada Majlis Konvokesyen ke-47 Universiti Putra Malaysia (UPM).

Perjalanan menyambung pengajian ijazah sarjana muda selama sembilan tahun dipenuhi dengan pelbagai cabaran serta suka dan duka kerana masing-masing juga perlu memberi fokus pada latihan olahraga demi membanggakan nama negara Malaysia.

Zaidatul Husniah yang merupakan graduan Bacelor Pendidikan Jasmani berkata, beliau perlu merancang pelajaran setiap semester agar dapat melakukan latihan sukan dan fokus pada akademik.

“Saya pernah menangguhkan pengajian selama tiga tahun kerana perlu menjalani latihan di luar negara iaitu pada 2017, 2018 dan 2020. Ini merupakan satu cabaran dan pengorbanan yang perlu dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Zaidatul Husna yang merupakan graduan Bacelor Sains Pembangunan Sumber Manusia mengakui kekangan masa merupakan cabaran terbesar buat atlet yang menyambung pengajian.

“Kami memang perlu menyusun masa kerana perlu ke kelas dan latihan ditambah pula kelas yang tidak menentu ada masa pagi, petang dan malam selain perlu menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah.

“Alhamdulillah, akhirnya kami berjaya. Inilah hadiah paling bermakna buat kedua ibu bapa kami kerana mereka merupakan tulang belakang yang sentiasa memberi sokongan semangat dan dorongan tanpa jemu agar kami sambung belajar.

“Sukan kita boleh berhenti tetapi pelajaran dan ilmu tidak boleh berhenti,” katanya. – MalaysiaGazette